Jumaat, 17 April 2015 | 12:09am

Hudud: Khalid Samad persoal Hadi


KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa membelakangkan kepimpinan parti berhubung pembentangan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.

Ini kerana, beliau yang dijangka mempertahankan jawatan tertinggi parti itu dalam perhimpunan awal Jun ini dikatakan membuat keputusan sendiri tanpa berunding dengan rakan-rakan dalam saf kepimpinan parti.

Akibatnya, mengikut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad, ia bukan sahaja menimbulkan salah faham dalam kalangan pimpinan pakatan pembangkang, malah dalam PAS dengan kemuncaknya menyaksikan DAP menghentikan kerjasama dengan Hadi.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menyifatkannya sebagai konflik personaliti.

Katanya, DAP berhak menamatkan hubungan dengan Hadi kerana gagal menerima penjelasan tindakan Ahli Parlimen Marang itu yang didakwa mengkhianati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Pembangkang, Februari lalu.

Namun, beliau bertegas tindakan DAP tidak menjejaskan hubungan dan kerjasama PAS kerana parti itu masih boleh diwakili kepimpinan lain, khususnya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Pembangkang.

"Mungkin tindakan Presiden dibuat tanpa berunding dengan pemimpin lain (kerana) Setiausaha Agung (Datuk Mustafa Ali) pun tidak mengetahuinya.

"Mungkin juga ada rundingan tetapi tidak menyeluruh, ...presiden membuat pertimbangan sendiri dalam perkara ini mungkin disebabkan kesuntukan untuk mengejar tempoh notis 14 hari," katanya kepada BH.

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Muhammad Sulaiman
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Muhammad Sulaiman

Hadi mengemukakan notis usul itu untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu. Usul itu akan membolehkan Hadi membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Pada 19 Mac, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila dilaksanakan kelak selepas 44 ADUN sebulat suara meluluskan rang undang-undang itu.

Khalid berkata, Hadi sepatutnya mengutamakan amalan syura dengan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan kepimpinan PAS dan rakan dalam pakatan bagi mengelak salah faham.

Rakan sekutu juga perlu diberikan penjelasan terperinci bahawa rang undang-undang itu bukan berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), sebaliknya peluasan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Apabila Presiden tidak berbincang dengan pihak lain, maka timbul salah faham ketika isu pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) hangat diperbahaskan, sekali gus semua orang termasuk saya menganggap Rang Undang-Undang Persendirian itu berkaitan dengan enakmen berkenaan, bukannya Akta 355.

UCAPAN syabas kepada STAGG @PDRMsia menerusi akaun Twitter Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
UCAPAN syabas kepada STAGG @PDRMsia menerusi akaun Twitter Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Walaupun ia bukan berkaitan Kanun Jenayah Syariah 11 1993, sepatutnya dari segi prinsip sebagai parti dalam satu pakatan, cadangan itu harus dimaklumkan kepada semua supaya tidak terkejut," katanya.

Beliau juga menasihati ahli dan pemimpin PAS yang terkesan dengan tindakan DAP bersikap lebih matang kerana isu seumpama itu pernah berlaku ketika krisis Menteri Besar Selangor yang menyaksikan Hadi membuat kenyataan keras berhubung cadangan melantik Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi mengisi jawatan itu.

"Dalam kes Wan Azizah, Presiden PAS turut mengeluarkan kata-kata agak keras terhadap beliau tetapi akhirnya ia dapat ditangani dengan baik. Kita mahu PAS juga mempunyai kematangan untuk menangani teguran dikemukakan DAP," katanya sambil menyifatkan tindakan DAP sebagai satu isyarat supaya kepimpinan PAS bersikap lebih terbuka dan jujur dalam kerjasama pakatan.

* Ikuti komen Khalid mengenai pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam BH Plus esok.

Berita Harian X