Rabu, 30 November 2022 | 11:04pm
Rakaman video angin berpusar yang menerbangkan bumbung dan pelbagai objek di Kampung Dato' Sulaiman Menteri di bandar raya Johor Bahru, petang ini. NSTP/Ihsan Pembaca
Rakaman video angin berpusar yang menerbangkan bumbung dan pelbagai objek di Kampung Dato' Sulaiman Menteri di bandar raya Johor Bahru, petang ini. NSTP/Ihsan Pembaca

`Seram sejuk lihat objek berterbangan di luar rumah'

JOHOR BAHRU: "Saya jadi seram sejuk melihat objek berterbangan di luar rumah dan dalam sekelip mata angin berpusar itu bergerak laju ke arah rumah jiran," kata penduduk Kampung Dato' Sulaiman Menteri, Razak Abdul Rahim, 34, hari ini.

Razak berkata, dalam kejadian hujan lebat bermula jam 3.50 petang tadi, disusuli angin kencang menyebabkan bumbung puluhan rumah dan premis perniagaan di kawasan perkampungan itu mengalami kerosakan.

Katanya, detik berlaku bencana itu umpama mimpi ngeri apabila angin berpusar itu turut mengakibatkan beberapa objek termasuk kerusi terangkat naik ke atas bumbung.

Kejadian itu menyebabkan mangsa ribut kerugian apabila bukan saja bumbung rumah rosak, malah barangan yang diletakkan di luar rumah dan premis perniagaan juga rosak.

"Saya tidak sangka kejadian berkenaan sempat dirakam oleh penduduk di sebuah rumah pangsa berhampiran dan tular di media sosial.

"Biasanya saya dan ahli keluarga hanya menonton kejadian puting beliung di luar negara, namun kini berdepan detik mencemaskan apabila melihat sendiri angin berpusar itu.

"Bagaimanapun kami bersyukur kerana penduduk di sini selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saya berharap kerajaan negeri mahupun agensi berkaitan tampil menawarkan bantuan, terutama bagi membaik pulih keadaan bumbung rumah," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beberapa anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) daerah Johor Bahru turut melakukan tinjauan di sekitar lokasi kejadian.

Difahamkan, setakat ini tiada sebarang laporan berhubung kecederaan dan kemalangan jiwa berkaitan kejadian.

Beberapa rumah di kawasan berkenaan juga dilanda banjir kilat selepas hujan lebat selama lebih sejam.

Berita Harian X