Rabu, 30 November 2022 | 5:50pm
KPDNHEP Selangor melaksanakan pemeriksaan bekalan asas seperti ayam, telur ayam dan lain-lain di beberapa pasar raya borong serta pasar basah. NSTP/Ihsan KPDNHEP Selangor
KPDNHEP Selangor melaksanakan pemeriksaan bekalan asas seperti ayam, telur ayam dan lain-lain di beberapa pasar raya borong serta pasar basah. NSTP/Ihsan KPDNHEP Selangor

Telur ayam di Selangor mencukupi, tiada isu sorok

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memaklumkan bekalan telur ayam di Selangor mencukupi dan tiada aktiviti sorok berlaku.

Ketua Seksyen Operasi, Seksyen Penguatkuasaan, KPDNHEP Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad, berkata ia berikutan telur ayam tidak mempunyai jangka hayat yang lama untuk disimpan atau disorok.

Katanya, hasil pemeriksaan di pasar basah dan pasar borong mendapati bekalan telur ayam gred A, B dan C mencukupi.

"Ada peniaga menetapkan had pembelian telur ayam kepada lima papan bagi setiap pembeli dan ia bukan satu kesalahan bawah KPDNHEP.

"Cuma kita nasihatkan agar peniaga tidak melaksanakan pembelian bersyarat yang mana pembeli perlu membeli barangan lain jika ingin mendapatkan barangan seperti minyak masak dan lain-lain. Ia satu kesalahan.

"Bekalan telur ayam masih dalam situasi terkawal dan pengguna masih boleh mendapat bekalan telur ayam walaupun terpaksa membelinya secara terhad," katanya selepas membuat pemeriksaan terhadap bekalan makanan asas di sebuah pasar borong di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan agak tidak membuat pembelian panik bagi mengelak berlakunya kekurangan bekalan.

Katanya, telur ayam juga tidak boleh disimpan lama, sehubungan itu, pengguna tidak perlu membeli dalam kuantiti yang banyak.

Dalam pada itu, Mohd Shahran berkata, sebanyak 6,562 premis sudah diperiksa sejak 5 Februari sehingga kelmarin menerusi penguatkuasaan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam.

Katanya, pihaknya turut menerima 101 aduan dengan kebanyakannya membabitkan sektor peruncit sebanyak 94 aduan.

"Sebanyak 182 kes sudah dihasilkan yang mana 144 adalah tiada tanda harga khas merah jambu manakala 28 lagi melebihi harga maksimum.

"Nilai kompaun bagi tempoh sama adalah RM42,300 manakala jumlah rampasan, RM13,714.67," katanya.

Berita Harian X