HULU SELANGOR: Daerah Hulu Selangor berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama negara kerana memiliki pelbagai tarikan semulajadi indah seperti air terjun, denai kembara dan perkampungan Orang Asli.
Sehingga kini, potensi ekonomi cukup besar itu dilihat gagal dieksploitasi sepenuhnya menyebabkan Hulu Selangor berada pada kedudukan kedua terendah dari segi kemakmuran ekonomi.
Calon kerusi Parlimen Hulu Selangor yang mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha, berkata beliau berazam menjadikan daerah ini destinasi pelancongan utama di negara ini jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok.
"Ramai pelancong kini mencari tarikan pelancongan semula jadi berkepadatan rendah selepas pandemik COVID-19. Saya percaya Hulu Selangor boleh menawarkannya tanpa menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat," katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau memberi contoh, antara tarikan pelancong yang boleh di bangunkan di Hulu Selangor ialah Kuala Kubu Bharu, iaitu bandar terancang pertama di negara ini dan mempunyai banyak tapak bersejarah dan warisan.
Disebabkan Hulu Selangor terletak berdekatan Lembah Klang, Haniza yang juga Timbalan Presiden PBM, menjelaskan usaha akan digerakkan bagi menarik kunjungan warga kota untuk aktiviti rehat dan riadah, terutama pada hujung minggu.
Berdasarkan maklum balas awal, katanya, ramai penduduk di Lembah Klang berminat melawat Hulu Selangor untuk aktiviti santai.
"Saya juga merancang untuk menarik pelancong antarabangsa sebagai langkah susulan, tetapi bagi mencapai matlamat ini, Hulu Selangor memerlukan pelaburan besar untuk menaik taraf infrastruktur pelancongan serta aktiviti promosi.
"Saya akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Selangor, pihak berkuasa tempatan serta sektor swasta seperti Think City untuk mendapatkan dana jika dipilih sebagai Ahli Parlimen kawasan ini," katanya.
Beliau yakin ledakan aktiviti pelancongan di Hulu Selangor akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, termasuk peningkatan hasil dalam sektor makan dan minum (F&B), pengangkutan dan inap desa.
"Jika terlaksana kelak, saya yakin Hulu Selangor akan menjadi antara kawasan paling maju di Selangor," katanya mengajak pengundi kawasan Parlimen itu membantu menjadikan wawasan berkenaan realiti.