Isnin, 12 September 2022 | 8:19pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim

2 minggu untuk MRT Corp bentang perincian stesen MRT3 di Taman Kencana

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi tempoh dua minggu kepada Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk membentang perincian berhubung rancangan pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) 3 di Taman Kencana di sini kepada jawatankuasa yang terbabit sebelum sebarang kata putus dan kelulusan berhubung pembinaannya boleh diberikan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim, berkata kerajaan negeri tidak menolak segala bentuk kemajuan infrastruktur, namun ia harus seiring dengan keperluan masyarakat setempat.

"Semalam saya mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk Taman Kencana bagi menjelaskan kekeliruan berhubung projek MRT3," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Izham mendakwa kerajaan negeri tidak pernah menerima cadangan jajaran baharu projek MRT3 membabitkan kawasan Taman Kencana

Izham berkata, pertemuan itu susulan mesyuarat khas beliau bersama pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Selangor, MRT Corp serta jabatan dan agensi terbabit dalam pembinaan MRT3.

"Saya memberi penerangan terperinci, garis masa dan pilihan reka bentuk stesen MRT Taman Kencana kepada wakil penduduk," katanya.

Beliau berkata, diharapkan hasil pertemuan itu dapat meredakan kekeliruan yang berlaku kepada penduduk Taman Kencana yang terbabit dalam perancangan pembinaan projek berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X