Ahad, 18 September 2022 | 5:56pm
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam (dua kiri) Datuk Leong Sir Ley (tiga kiri) ketika menyertai program `Ayuh Kayuh 2022’ di Ayer Keroh. NSTP/Nazri Abu Bakar
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam (dua kiri) Datuk Leong Sir Ley (tiga kiri) ketika menyertai program `Ayuh Kayuh 2022’ di Ayer Keroh. NSTP/Nazri Abu Bakar

1,000 sertai kayuhan sempena Hari Malaysia

1,000 sertai kayuhan sempena Hari Malaysia

bhnews@bh.com.my

Melaka: Kira-kira 1,000 peserta menyertai Ayuh Kayuh 2022 sempena sambutan Hari Malaysia bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di bandar raya ini, hari ini.

Program anjuran Kelab Rekreasi dan Kecergasan Wilayah Perdana (KRKWP) dan Sheng Tai International itu membabitkan peserta berusia 16 tahun ke atas dengan jarak 40km termasuk sebahagian bandar raya Melaka, tapak Warisan Dunia UNESCO.

Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley, berkata program itu membolehkan penggiat berbasikal menikmati keseronokan pemandangan menarik di negeri berkenaan.

Beliau berkata, `Ayuh Kayuh 2022' juga bertepatan dengan hujung minggu Hari Malaysia dan menjadi teras dalam menarik minat peserta dari luar Melaka bersama dalam program berkenaan, sekali gus merancakkan pelancongan di negeri ini.

Katanya, sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Perkhidmatan Ambulans Wide Medic untuk memastikan penunggang selamat juga membolehkan program berjalan lancar.

"Berbasikal pada pagi minggu amat menyeronokkan kerana selain menjaga kecergasan, kesihatan, meningkatkan kecergasan kardiovaskular dan meningkatkan mobiliti sendi, ia juga membantu mengurangkan tahap tekanan.

"Kesudian Tun Mohd Ali berkayuh bersama amat bermakna buat peserta dan komuniti, sekali gus program juga bersempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-73 dan meraikan Hari Malaysia yang disambut di Melaka," katanya.

Sheng Tai International adalah antara penyumbang utama Melaka dengan banyak pembangunan hebat, iaitu The Sail, Ames Hotel, Metrasquare dan Regalia Beachfront Residence.

Sejak beberapa tahun lalu, Sheng Tai International juga bekerjasama dengan jenama antarabangsa untuk membawa peluang perniagaan baharu ke Melaka dengan tujuan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan ekonomi tempatan.

Sementara itu, peserta, Nazilan Ahmad, 62, dari Alor Gajah, berkata sambutan Hari Malaysia diadakan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, malam Jumaat lalu, yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung disifatkan amat bersejarah kerana ia buat pertama kali diadakan di Semenanjung.

Malah, bandar raya Melaka terus menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara selepas sambutan berkenaan termasuk mengunjungi lokasi bersejarah di negeri terbabit.

Katanya, pelbagai pengisian program lain selepas sambutan termasuk program berbasikal mengisi aktiviti berfaedah buat peserta untuk sama-sama menikmati keindahan bandar raya berkenaan.

Berita Harian X