Rabu, 10 Ogos 2022 | 3:59pm

Kerajaan jimat lebih RM315 juta bina 1,210 unit rumah

KUALA TERENGGANU: Kerajaan mampu menjimatkan kos lebih RM315 juta untuk melaksanakan projek pembinaan 1,210 unit kediaman melalui pembangunan perumahan secara penswastaan di kawasan pentadbiran bandar baharu, Kuala Nerus, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak, berkata kerajaan negeri hanya menyediakan tapak seluas kira-kira 18.8 hektar untuk melaksanakan projek perumahan di kawasan itu.

Katanya, kos projek untuk menyediakan sebanyak 276 unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) jenis A, 360 unit jenis B, 108 pangsapuri jenis C1, 192 jenis C2 dan 259 unit rumah teres dua tingkat, enam unit kedai dua tingkat serta dua unit kedai tingkat tingkat ditanggung sepenuhnya pemaju.

"Pemaju yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek ini disyaratkan hanya menjual RPMM jenis A di bawah RM80,000 seunit, manakala jenis B di bawah harga RM185,000 seunit.

"Pemaju juga diminta mengutamakan kelestarian alam sekitar ketika melaksanakan projek perumahan," katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Cadangan Pembangunan Perumahan secara swasta di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad negeri (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman dan Pegawai Kewangan negeri, Rozali Salleh.

Pada majlis itu, Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Tunggal menyerahkan surat tawaran cadangan pembangunan perumahan kepada Pengerusi Eksekutif K-Power Berhad, Mustakim Mat Nun.

Dr Alias berkata, semua jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dengan pelaksanaan projek perumahan di negeri ini diminta memainkan peranan sebagai pemudahcara.

"Kita sudah mengarahkan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan memainkan peranan sebagai pemudahcara bagi memastikan pelaksanaan projek lancar tanpa sebarang halangan yang boleh melewatkan kerja pembinaan," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak (kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Kpower Berhad, Tuan Mustakim Mat Nun (kiri) ke Majlis Penyerahan Surat Tawaran Cadangan Pembangunan Perumahan Secara Penswastaan di Pusat Pentadbiran Kuala Nerus di Wisma Darul Iman. - NSTP/Ghazali Kori
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak (kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Kpower Berhad, Tuan Mustakim Mat Nun (kiri) ke Majlis Penyerahan Surat Tawaran Cadangan Pembangunan Perumahan Secara Penswastaan di Pusat Pentadbiran Kuala Nerus di Wisma Darul Iman. - NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X