Ahad, 7 Ogos 2022 | 7:38pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (tiga kiri) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat (kiri) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Mohd Suhaili Ismail (dua kiri) melihat peta projek Kompleks Sukan Bukit Merbau bernilai RM256 juta yang terletak di Pasir Puteh, Kelantan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (tiga kiri) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat (kiri) dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Mohd Suhaili Ismail (dua kiri) melihat peta projek Kompleks Sukan Bukit Merbau bernilai RM256 juta yang terletak di Pasir Puteh, Kelantan.

6 komponen lengkapkan kemudahan Kompleks Sukan Bukit Merbau

PASIR PUTEH: Enam komponen kemudahan akan dibangunkan di Kompleks Sukan Bukit Merbau yang akan mula dibina Januari, tahun depan.

Komponen kemudahan itu termasuk stadium utama yang dilengkapi padang bola sepak dan trek olahraga, dengan kapasiti 20,000 orang.

Lima lagi kemudahan lain adalah arena tertutup dengan gelanggang pelbagai guna; stadium hoki serta dua padang; pusat skuasy; gelanggang 'lawn bowl' dan lapang sasar menembak dengan kemudahan `indoor shooting' dengan kapasiti antara 100 hingga 1,000 penonton.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pembinaan itu hasil kelulusan peruntukan perbelanjaan (DE) RM256 juta bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang sekian lama ditunggu rakyat negeri ini.

Katanya, projek di tapak seluas kira-kira 64 hektar itu kini berada di peringkat prapelaksanaan yang mana makmal pengurusan nilai sudah diadakan pada Jun lalu.

"Tender bagi pembinaan ini ditutup hujung bulan ini dan pada Januari nanti, kerja-kerja awal akan mula dilaksanakan.

"Pembinaan ini adalah persiapan bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang mana Kelantan jadi tuan rumah. Jadi, pembinaan di sini mula Januari dan jangka siap hujung tahun 2025," katanya ketika melawat tapak kompleks sukan itu di Bukit Merbau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Tuan Saripudin Tuan Ismail dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan, Mohd Suhaili Ismail.

Mustapa berkata, kompleks itu juga bakal dilengkapi rumah pejabat, bilik persalinan, bilik rawatan, bilik media, bilik doping, surau dan gimnasium.

Katanya, lokasi itu akan menjadi pusat utama temasya SUKMA dan kerja-kerja membina jalan rintis akan dilaksanakan pihak kerajaan negeri.

Sementara itu, Wan Roslan berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan RM30 juta untuk pembangunan jalan sepanjang dua kilometer ke lokasi stadium.

Katanya, lokasi Bukit Merbau dipilih bagi kompleks sukan SUKMA 2026 kerana mahu lari dari kesibukan kota, selain merancang pembangunan akan datang di kawasan berkenaan.

"Kita sudah ambil tapak 128 hektar (320 ekar) di sini. Separuh kita berikan untuk kompleks sukan dan separuh lagi kita merancang untuk bina bandar sukan, kawasan perumahan dan sebagainya kerana lokasi ini juga berdekatan lokasi ekopelancongan seperti Jeram Mengaji dan Kolam Air Panas Tok Bok (Machang).

"Bagi jalan rintis pula, kita sudah laksanakan dan jika ada tambahan kos, kerajaan negeri sedia menanggung kenaikan itu," katanya.

Berita Harian X