Ahad, 7 Ogos 2022 | 5:38pm
Raja Muda Perlis (dua dari kiri) bersama anakanda baginda (kiri sekali) menyantuni masyarakat Islam Coconut Island. - BERNAMA
Raja Muda Perlis (dua dari kiri) bersama anakanda baginda (kiri sekali) menyantuni masyarakat Islam Coconut Island. - BERNAMA

Raja Muda Perlis santuni masyarakat Islam Coconut Island

PHUKET (Thailand): Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan berangkat menyantuni masyarakat Islam di Coconut Island, di sini.

Turut berangkat anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, berkata lawatan itu antara Program Ziarah Mahabbah 2022 bagi menyantuni masyarakat setempat sekitar Phuket.

"Beberapa program diadakan bagi masyarakat Islam di pulau ini antaranya kesedaran kesihatan untuk golongan wanita serta perkongsian motivasi kepada kanak-kanak dan warga emas," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs, juga berkenan menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Masjid Coconut Island bagi menjalankan usaha dakwah dan aktiviti agama di pulau itu.

Peserta Program Ziarah Mahabbah 2022 menyantuni masyarakat ketika lawatan ke Masjid Nurul Syuhadak di Coconut Island di Phuket. - BERNAMA
Peserta Program Ziarah Mahabbah 2022 menyantuni masyarakat ketika lawatan ke Masjid Nurul Syuhadak di Coconut Island di Phuket. - BERNAMA

Katanya, lawatan itu juga sebagai pendedahan kepada Syed Sirajuddin Areeb berkaitan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Seramai 35 delegasi terdiri daripada Ahli Majlis MAIPs menyertai program tiga itu yang berakhir hari ini. – BERNAMA

Berita Harian X