Jumaat, 5 Ogos 2022 | 8:20pm
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad (tengah) menyerahkan sijil Pengesahan Arah Kiblat kepada Nizar Manshor (kiri) di Stesen Petronas Jalan Seremban-Tampin, petang ini. NSTP/Mohd Amin Jalil
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad (tengah) menyerahkan sijil Pengesahan Arah Kiblat kepada Nizar Manshor (kiri) di Stesen Petronas Jalan Seremban-Tampin, petang ini. NSTP/Mohd Amin Jalil

Pengesahan kedudukan kiblat untuk kesempurnaan ibadah

SEREMBAN: Pesongan satu darjah dari arah kiblat adalah bersamaan 122 kilometer (km) tersasar dari Kaabah.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata justeru, kedudukan dan pengesahan arah kiblat yang betul sangat penting kerana ia berkaitan dengan soal kesempurnaan ibadah.

Beliau berkata, ia perlu dititikberatkan oleh semua pihak ketika hendak melaksanakan ibadah supaya ia tidak tersasar jauh dari Kaabah.

"Kiblat adalah arah untuk umat Islam menghadap ketika melaksanakan ibadah solat dan hukumnya adalah wajib kerana ia antara syarat sah solat.

"Antara ibadah dan kewajipan lain yang perlu menghadap ke arah kiblat adalah mengebumikan jenazah manakala sunat menghadap kiblat ketika azan, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan menyembelih binatang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Arah Kiblat Bagi Surau Stesen Petronas Peringkat Negeri Sembilan di Stesen Petronas Jalan Seremban-Tampin, di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Pengurus Jualan Wilayah Selatan 1, Nizar Manshor dan Pengusaha Stesen Minyak Petronas Senawang 2, Sahar Ambia.

Mohd Yusof berkata, semua pengusaha dan pihak yang berkaitan bertanggungjawab untuk mendapatkan arah kiblat yang tepat daripada Unit Falak Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS).

"Usaha pihak PETRONAS bagi memastikan arah kiblat surau di semua stesen minyak miliknya ini adalah tepat," katanya.

Beliau berkata, ketika kakitangan Unit Falak JMNS melaksanakan kerja-kerja memperbetulkan arah kiblat di stesen minyak PETRONAS di seluruh Negeri Sembilan mendapati 35 daripada keseluruhan 56 stesen berkenaan, kedudukan arah kiblatnya kurang tepat atau tersasar.

Katanya, pihaknya menggesa stesen minyak atau syarikat swasta yang lain dapat mencontohi stesen minyak PETRONAS.

"Perkara wajib seperti ini perlu diberikan perhatian dan tidak boleh diambil mudah bagi mengelak keraguan dalam kalangan masyarakat Islam yang menggunakan kemudahan disediakan itu untuk menunaikan solat.

"Mana-mana pihak termasuk jawatankuasa masjid dan surau di Negeri Sembilan yang ingin membuat semakan terhadap kedudukan arah kiblat perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)," katanya.

Sementara itu, Nizar berkata, kesemua 56 stesen minyak PETRONAS di seluruh negeri ini sudah disempurnakan pengesahan arah kiblatnya.

"Proses itu dijalankan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan selama tiga bulan sejak Mei lalu dan kini kita tidak lagi berasa was-was terhadap arah kiblat" katanya.

Berita Harian X