Sabtu, 9 Julai 2022 | 1:47pm
Pengunjung mendapatkan tiga jenis sayur iaitu sayur sawi, lobak merah dan tomato yang dijual pada harga RM1 sempena program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di Pasir Puteh. Foto NSTP/Nor Amalina Alias
Pengunjung mendapatkan tiga jenis sayur iaitu sayur sawi, lobak merah dan tomato yang dijual pada harga RM1 sempena program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di Pasir Puteh. Foto NSTP/Nor Amalina Alias

3 sayur RM1 jadi rebutan

PASIR PUTEH: Tiga jenis sayur yang dijual pada harga hanya RM1 antara menjadi rebutan di Program Khas Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di Pasir Puteh, hari ini.

Sayur sawi, lobak merah dan tomato itu terjual lebih 40 plastik hanya dalam tempoh beberapa minit gerai jualan dibuka bermula jam 8 pagi di perkarangan pejabat Ahli Parlimen Pasir Puteh.

Penduduk, Noriah Jaafar, 50, berkata dia sentiasa menunggu program JTDLKM bagi membeli keperluan harian seperti ikan, sayuran dan buahan yang dijual dengan harga lebih murah.

Katanya, tiga jenis sayur pada harga RM1 satu plastik, tidak mungkin ada dijual di pasar atau mana-mana kedai.

"Beli di sini (JTDLKM) murah daripada biasa, tambah lagi nak raya, jadi saya ambil kesempatan beli keperluan dapur di program ini.

"Sekarang semua barang naik harga, jadi program jualan seperti ini sangat dinantikan," katanya ketika ditemui di program JTDLKM, di sini, hari ini.

Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Yang turut hadir, Pengarah FAMA Negeri Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Tuan Saripudin Tuan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah.

Seorang lagi penduduk, Nor Zainab Che Leh, 55, berkata, keperluan dapur naik sekali ganda berbanding dulu membuat dia sentiasa menunggu jualan khas seperti JTDLKM.

"Kalau dulu, untuk beli sayur, ikan dan lauk lain sekitar RM30 sekali beli, sekarang mencecah RM50, jadi program beginilah kami ambil peluang beli," katanya yang tinggal di Kampung Tebing Tinggi.

Sementara itu, Nik Zawawi berkata, program JTDLKM akan memberi manfaat kepada 420,000 pengguna dengan nilai sasaran jualan RM10.5 juta dengan penganjurannya di seluruh negara.

Katanya, program JTDLKM adalah peluang rakyat membeli secara terus produk terpilih seperti ayam, ikan, sayuran, buah-buahan, daging dan barangan runcit dengan nilai penjimatan antara lima hingga 10 peratus berbanding harga pasaran setempat.

"Pemasaran hasil pertanian secara terus ini juga mengurangkan kebergantungan pengeluar kepada orang tengah selain menjamin sekuriti makanan negara.

"Program ini juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) untuk menghidupkan semula konsep jihad memerangi orang tengah yang bertujuan memendekkan rantaian pemasaran agromakanan bagi memberi harga terbaik kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata, setakat ini program ini dilaksanakan dengan kekerapan 840 kali di seluruh negara.

Di Kelantan sahaja, sebanyak 23 program JTDLKM dilaksanakan dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM215,697.

Berita Harian X