Sabtu, 2 Julai 2022 | 7:42pm
Raja Perlis (tengah) ketika menerima persembahan nombor pendaftaran plat kenderaan khas ‘USM 1’ daripada Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.
Raja Perlis (tengah) ketika menerima persembahan nombor pendaftaran plat kenderaan khas ‘USM 1’ daripada Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.

Suntikan pelabur suburkan sektor pelancongan Perlis

KUALA LUMPUR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yakin peranan pelabur baik dari dalam atau luar negara mampu membantu dalam menyuburkan lagi sektor pelancongan negeri itu termasuklah dalam aktiviti berkaitan perhotelan.

Tidak baginda, banyak perubahan sedang berlaku di Perlis ketika ini yang memerlukan suntikan untuk mengusahakan dan memperhebatkan lagi kemajuannya terutama dalam pembangunan fizikal dan infrastruktur.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bersama-sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid menghadiri Majlis Santapan Malam Jemaah Dato-Dato Perlis (JDDPs) 2022 sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis ke 79 di Hotel Royale Chulan, di sini, malam semalam.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung Diraja JDDPs dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tetamu diraja ke majlis dihadiri 440 tetamu itu disambut Presiden JDDPs, Datu Husin Md Tahak dan Timbalannya, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin serta barisan Jawatankuasa JDDPs bagi penggal 2022-2025 yang baru sahaja dipilih pada 18 Mei baru-baru ini.

Pada majlis sama, Raja Perlis yang juga merangkap Tuanku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dipersembahkan nombor pendaftaran plat kenderaan khas 'USM 1' daripada Pro Canselornya, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, selain Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Turut diadakan penyampaian sumbangan RM25,000 untuk aktiviti JDDPs daripada pihak HR Group of Companies.

Tetamu Diraja diketuai Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berangkat ke Majlis Santapan Malam Jemaah Dato-Dato Perlis (JDDPs) 2022 sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis ke 79 di Hotel Royale Chulan, di sini, malam semalam.
Tetamu Diraja diketuai Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berangkat ke Majlis Santapan Malam Jemaah Dato-Dato Perlis (JDDPs) 2022 sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis ke 79 di Hotel Royale Chulan, di sini, malam semalam.

Dalam pada itu, Faizuddin Centre of Excellence (FCOE) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diwakili Kamarudin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran MAIPs dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, menyerahkan sumbangan RM10,000 untuk Program Kecemerlangan Pendidikan JDDPs kepada pelajar dari kalangan asnaf dan B40.

Terdahulu, Husin dalam ucapan alu-aluan memaklumkan JDDPs dengan slogannya iaitu 'Bersedia, Bersatu Dan Berbakti' mengalu-alukan segala sumbangan ikhlas daripada dermawan yang budiman untuk menyokong pelbagai inisiatif JDDPs khususnya dalam membantu mereka yang memerlukan selain memperteguhkan institusi Diraja Wangsa Jamalullail Perlis.

Berita Harian X