Jumaat, 1 Julai 2022 | 7:02pm
Raja Muda Perlis yang juga YDP MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. NSTP/IHSAN ISTANA ARAU
Raja Muda Perlis yang juga YDP MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. NSTP/IHSAN ISTANA ARAU

Solat Aidiladha di Perlis tahun ini terus dilaksanakan di tanah lapang

ARAU: Solat sunat Aidiladha di Perlis pada tahun ini digalakkan dilaksanakan di tanah lapang (musolla) pada jam 8 pagi seperti tahun sebelum ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah pemilihan tanah lapang tertakluk kepada ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing di seluruh Perlis dan prosedur ini dilaksanakan selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"Pelaksanaan ini selaras dengan sunnah Baginda Rasulullah SAW, selain dapat mengurangkan risiko jangkitan, berbanding solat di tempat tertutup.

"Bagaimanapun, pihak jawatankuasa kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan tertakluk kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir," titah baginda dalam satu kenyataan, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, jemaah turut diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup separuh muka ketika hendak menunaikan solat sunat Aidiladha.

"Jemaah dibenarkan bersalaman, namun tidak menyentuh muka selepas bersalaman dan mereka hendaklah sentiasa mencuci atau membersihkan tangan.

"Selain itu, pelaksanaan solat sunat Aidiladha di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama kekal tidak dilaksanakan bagi mengurangkan risiko serta demi penyelarasan oleh pihak berkaitan," titahnya.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, bagi aspek penganjuran ibadah korban pula semua pihak sama ada masjid, surau yang berdaftar dengan MAIPs, jabatan atau agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan menganjurkan ibadah korban dengan tertakluk kepada SOP keselamatan dan kesihatan ditetapkan pihak berkuasa.

"Pada masa sama, pelaksanaan ibadah korban (penyembelihan haiwan korban) hanya boleh dilakukan di kawasan seperti rumah sembelihan milik kerajaan dan swasta, masjid dan surau berdaftar dan premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis.

"Semua penganjur yang menguruskan ibadah korban perlu membuat semakan bagi penyediaan tempat yang sesuai untuk tujuan pelaksanaan proses penyembelihan, melapah, memotong dan mengagihkan korban," titahnya.

Berita Harian X