Khamis, 30 Jun 2022 | 12:04pm

Muara cetek sulitkan nelayan keluar ke laut

CHUKAI: Masalah muara cetek yang berlaku di Pantai Penunjuk, Kemaman, menyebabkan 100 nelayan di kawasan itu berdepan kesukaran untuk keluar dan masuk bagi mencari rezeki menangkap ikan.

Masalah itu berlaku sejak sekian lama dan menjadi semakin serius sehingga muara membentuk timbunan pasir, sekali gus menutup jalan dan laluan untuk bot nelayan keluar masuk.

Nelayan, Yusof Mohammad, 70, berkata keadaan itu menyulitkan mereka untuk keluar menangkap ikan dan mendaratkan hasil diperoleh setiap hari.

"Apabila waktu air surut, kami tak boleh keluar ke laut dan tidak dapat mendaratkan hasil tangkapan hingga terpaksa menunggu serta bermalam di luar kuala sehingga air pasang semula," katanya.

Yusof berkata, keadaan muara yang cetek itu turut menyebabkan berpuluh bot nelayan mengalami kerosakan akibat terlanggar beting pasir.

"Perkara ini sudah dipanjangkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), namun sehingga kini tiada sebarang usaha daripada pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu," katanya.

Rakannya, Shafir Puteh,63, berkata antara faktor muara itu menjadi cetek disebabkan pasir dari luar muara ditolak masuk oleh ombak besar.

"Setiap kali musim tengkujuh, ombak besar akan membawa lebih banyak pasir dan jika kerajaan lambat bertindak, besar kemungkinan muara ini akan tertutup terus.

"Kita berharap kerajaan membina benteng pemecah ombak bagi mengatasi masalah itu bagi menghalang ombak besar membawa pasir masuk ke muara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Terengganu, Mat Yasim Mohammed, berkata masalah itu akan dibangkitkan pada mesyuarat agung NEKMAT yang akan datang bagi membolehkan usul itu mendapat perhatian kerajaan negeri sebelum dibincangkan di peringkat Kerajaan Pusat.

"Kita berharap perkara itu mendapat perhatian kerajaan negeri dan Pusat bagi mencari jalan penyelesaian, sekali gus membantu nelayan yang semakin terhimpit sekarang," katanya.

 Keadaan muara cetek di Pantai Penunjuk yang ditimbuni pasir menyulitkan nelayan keluar ke laut. -NSTP/ROSLI ILHAM
Keadaan muara cetek di Pantai Penunjuk yang ditimbuni pasir menyulitkan nelayan keluar ke laut. -NSTP/ROSLI ILHAM
Berita Harian X