Rabu, 22 Jun 2022 | 1:45pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Operasi banteras cemar alam sekitar ditingkatkan

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) akan terus meningkatkan pemantauan untuk memastikan tiada mana-mana pihak di negeri itu yang melanggar perundangan alam sekitar di bawah Akta Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).

Pengarahnya, Azuri Azizah Saedon, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang melanggar undang-undang ditetapkan.

Katanya, jabatan itu telah berjaya mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sembilan premis yang bukan ditetapkan (PYBDT) dan satu premis yang ditetapkan (PYDT), disyaki menyebabkan pencemaran alam sekitar, dalam Ops Burung Hantu, kelmarin.

Katanya, selain itu sebanyak 27 premis turut dipantau melalui pemeriksaan suhu dan pH bagi pelepasan efluen serta pemantauan bau dan asap hitam.

"Hasil daripada operasi itu, tujuh premis didapati tidak patuh dan 18 pula dikenakan kompaun berjumlah RM36,000.

"Ops Burung Hantu kali ini memberi tumpuan khas kepada premis yang menghasilkan efluen perindustrian khasnya pemantauan terhadap pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak industri perlu sentiasa bersedia untuk mematuhi kehendak perundangan alam sekitar semasa menjalankan pengoperasian premis pada setiap masa.

"Jabatan tidak akan bertolak ansur sebaliknya bertindak tegas dalam membanteras dan mengambil tindakan perundangan kepada mana-mana pihak yang melanggar perundangan alam sekitar.

"Kami akan terus memantau premis yang disyaki mencemarkan alam sekitar dan mana-mana pihak yang didapati melanggar kehendak perundangan alam sekitar akan diambil tindakan sewajarnya," katanya.

Berita Harian X