Selasa, 21 Jun 2022 | 9:46pm
Penjaja jalanan tidak dibenarkan meninggalkan khemah dan barang niaga di tapak jualan selepas habis berniaga dan notis larangan berbuat demikian dikeluarkan daripada semasa ke semasa sebagai peringatan.
Penjaja jalanan tidak dibenarkan meninggalkan khemah dan barang niaga di tapak jualan selepas habis berniaga dan notis larangan berbuat demikian dikeluarkan daripada semasa ke semasa sebagai peringatan.

'MBK nak sita biarlah berlaku adil'

KUANTAN: Penjaja berdekatan Masjid Saidina Umar Al-Khattab dekat Cenderawasih di sini, melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), yang didakwa tidak berlaku adil dalam menguatkuasakan larangan berniaga.

Ini kerana, penguat kuasa MBK itu hanya menyita peralatan niaga membabitkan empat penjaja makanan dan minuman yang ditinggalkan di tepi jalan itu, manakala dua gerai bergerak tidak dikenakan sebarang tindakan dalam operasi pada 17 Jun lalu.

Penjaja mendakwa, dalam operasi kira-kira jam 10 malam itu, semua peralatan perniagaan mereka seperti meja, kerusi dan kanopi yang berada di lokasi niaga masing-masing, dihumban ke dalam lori MBK sejurus disita.

Penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah, mengakui kesalahannya apabila barang niaga disita namun mempertikaikan sikap tidak adil penguat kuasa MBK dalam menjalankan tugas mereka.

"Saya pun faham mengapa barang niaga disita dan diangkut penguat kuasa ketika operasi itu tetapi isunya kenapa hanya barangan kami saja yang dirampas mereka.

"Ini kerana ketika operasi itu, tidak mengangkut atau menyita dua lagi gerai bergerak pada malam itu, sebaliknya memberi alasan gerai berkenaan 'berat'.

"Kalau tak boleh angkut, mengapa penjaja terbabit tidak dikenakan kompaun. Mereka boleh dibiarkan terlepas daripada undang-undang tetapi kami dikenakan tindakan sedangkan kesalahan ada sama. Sudahlah barang disita, tak boleh berniaga, nak tuntut barang belum tentu masih dalam keadaan elok selepas dicampak begitu sahaja ke dalam lori," katanya kepada BH ketika ditemui di sini, hari ini.

Aminah mencadangkan MBK supaya menyediakan satu lokasi berdekatan dan bersesuaian untuk membolehkan penjaja seperti mereka membina atau menyewa sebuah tempat atau stor bagi menyimpan barang niaga.

"Setiap bulan kami bayar permit khas niaga sebanyak RM200 berbanding penjaja lain RM60. Mungkin sebahagian daripada duit itu boleh disalurkan pula ke tempat barang niaga kami yang bakal disimpan," katanya yang berniaga sejak Ogos tahun lalu.

Peniaga makanan mahu dikenali sebagai Amirul, 30, mengaku akur dengan tindakan penguat kuasa menyita gerainya tetapi kecewa melihat mereka membiarkan peniaga gerai lain terus beroperasi seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Cuma saya agak kecewa dengan tindakan penguatkuasa yang tidak menyita dua lagi gerai, sekaligus membolehkan mereka terus berniaga berbanding kami yang perlu menuntut barang dan membayar kompaun sebelum mendapatkan semula barang niaga," katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, mengesahkan tindakan yang diambil dalam operasi terbabit.

Beliau berkata, semua peniaga yang meninggalkan kanopi gerai di tempat berniaga disita, manakala pemilik gerai burger tidak diambil tindakan kerana sudah berjanji akan mengalihkan sendiri gerai mereka.

"Pemantauan akan dibuat secara berterusan dan tindakan sita akan dilaksanakan kepada mana-mana peniaga yang masih meninggalkan kanopi dan peralatan niaga di situ.

"Tidak ada isu gerai tak diangkat atau sita kerana berat, cuma peralatan semasa operasi yang dibawa tidak bersesuaian," katanya ketika mengulas dakwaan penguat kuasa enggan tidak menyita gerai terbabit kerana berat.

BH difahamkan, MBK sudah beberapa kali mengeluarkan notis larangan meninggalkan khemah dan barang niaga kepada di jalan berkenaan.

Notis terbaharu adalah pada 15 Jun sebelum operasi menyita barangan dilakukan pada kira-kira jam 10 malam pada 17 Jun lalu.

Berita Harian X