Selasa, 21 Jun 2022 | 5:45pm

Limpahan rezeki Aidiladha

Oleh Nazdy Harun

bhnews@bh.com.my

KUALA BERANG: Kehadiran Aidiladha tidak berapa lama lagi membuka limpahan rezeki buat tukang pisau apabila tidak menang tangan menyiapkan bilah-bilah pisau yang ditempah pelanggan.

Lokman Nor Hakim Sukry, 24, dari Kampung Kuala Menjing, di sini, berkata, hingga kini dia menerima kira-kira 30 tempahan pisau pelbagai jenis berharga serendah RM80 hingga RM1,200 seunit bergantung kepada jenis besi, ukuran dan model yang diinginkan pelanggan.

Katanya, Aidiladha yang bakal menjelang mendorong sesetengah individu membuat tempahan pisau yang akan digunakan untuk menyembelih ternakan korban.

"Hingga kini sudah 300 unit pisau ditempah dan bagi menyiapkan kesemua tempahan saya akan memulakan operasi bengkel seawal jam 8 pagi sehingga jam 6 petang.

"Namun, untuk menyiapkan banyak tempahan adakalanya saya terpaksa menyambung kerja hingga jam 10 malam dan dalam sehari biasanya saya bersama dua pekerja mampu menyiapkan lapan hingga 10 bilah pisau," katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Matt Der, dalam kalangan peminat pisau dan penduduk kampung.

Menurutnya, dia menghasilkan lebih 10 jenis pisau antaranya golok kebun, bilah sembelih, bilah lapah, golok tulang dan kapak yang ditempah pelanggan dari seluruh Malaysia termasuk negara jiran Brunei dan Indonesia.

Katanya, banjir besar yang melanda daerah Hulu Terengganu, hujung Februari lalu meninggalkan kesan kepada perusahaan pisau yang diusahakannya lebih tiga tahun lalu itu.

Lokman berkata, akibat banjir perusahaan membuat pisau terjejas teruk dan dia kembali memulakan kerja membuat pisau sejak awal bulan ini selepas kerja-kerja menaiktaraf dan membaiki alatan pertukangan yang rosak dilakukan.

"Mujur banyak mesin berjaya dibaiki dan saya hanya mengalami kerugian kira-kira RM5,000 akibat banjir. Saya bersyukur kerana perayaan Aidiladha membuka limpahan rezeki," katanya dan memberitahu

pisau tempahan pelanggan biasanya dipos kerana kebanyakan pembeli dari luar Terengganu.

Lokman sedang melakukan kerja membuat pisau di bengkelnya di Kampung Kuala Menjing. - Foto NSTP/Nazdy Harun
Lokman sedang melakukan kerja membuat pisau di bengkelnya di Kampung Kuala Menjing. - Foto NSTP/Nazdy Harun
Berita Harian X