Ahad, 19 Jun 2022 | 1:06pm
Hamdan dan Dr Nor Azimi (dua dari kanan) pada Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Hamdan dan Dr Nor Azimi (dua dari kanan) pada Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Kes demam denggi di Pahang turun 13 peratus

KUANTAN: Kes demam denggi di Pahang menunjukkan penurunan sebanyak 13 peratus kepada 215 kes dalam tempoh Januari hingga 11 Jun tahun ini berbanding 247 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata dalam tempoh itu juga tiada kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di negeri ini.

Beliau berkata, daripada keseluruhan kes demam denggi yang dilaporkan tahun ini, Kuantan merekodkan kes tertinggi dengan 71 kes diikuti Temerloh (55 kes) dan Bentong (40 kes).

"Demam denggi agak mustahil untuk mencapai sifar kes memandangkan ia endemik yang sentiasa berlaku.

"Bagaimanapun, usaha perlu dilakukan secara berterusan bagi memerangi denggi daripada menjadi wabak tidak terkawal yang boleh membawa kepada kematian," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes 2022 Peringkat Negeri Pahang di Taman Impianku, Jalan Sungai Lembing, di sini semalam.

Majlis disempurnakan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Dr Nor Azimi berkata, setakat ini pihaknya sudah mengeluarkan 462 kompaun dengan jumlah keseluruhan RM231,000 terhadap pihak yang gagal menguruskan persekitaran premis masing-masing hingga berlaku pembiakan nyamuk aedes di negeri ini.

Beliau berkata, peranan memerangi denggi adalah tugas bersama, khususnya dalam kalangan komuniti dan bukan meletakkan tanggungjawab itu di bahu agensi terbabit semata-mata.

"Setiap anggota masyarakat perlu mengamalkan aspek kebersihan bermula dari rumah dengan membersihkan kawasan dan memastikan tidak berlaku pembiakan nyamuk aedes dalam premis mereka," katanya.

Sementara itu, Hamdan berkata, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sudah melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan persekitaran daerah ini sentiasa bersih dan bebas wabak penyakit.

Beliau berkata, sesuai dengan status Kuantan sebagai penerima Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard 2022-2024 Peringkat Kebangsaan yang diterima Oktober tahun lalu, aspek kebersihan persekitarannya amat penting.

Katanya, MBK sentiasa mengambil langkah proaktif bagi mengawal penularan kes demam denggi di daerah ini.

Berita Harian X