Sabtu, 11 Jun 2022 | 6:13pm

KeTSA lulus RM192,810 untuk dokumentasi Rizab Biosfera Bukit Bendera

GEORGETOWN: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) meluluskan peruntukan sebanyak RM192,810 kepada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) untuk melaksanakan projek dokumentasi Tapak Rizab Biosfera Bukit Bendera.

Timbalan Menterinya, Datuk Ali Biju, berkata Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah meluluskan pencalonan Bukit Bendera yang berkeluasan 12,481 hektar sebagai tapak rizab biosfera Malaysia ketiga negara pada 15 September lalu, bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB).

"Ia telah melalui proses panjang dan mencabar pada peringkat negara mahupun sekretariat UNESCO sebelum diluluskan ketika mesyuarat yang diadakan di Abuja, Nigeria, pada 13 hingga 17 September lalu.

"Kita percaya pengiktirafan ini akan mengharumkan nama Pulau Pinang di mata dunia, selain meningkatkan ekonomi masyarakat setempat," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Rizab Biosfera Bukit Bendera di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengurus Besar PBBPP, Datuk Cheok Lay Leng.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Ali Biju (tengah) diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kanan) ketika hadir pada majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Bukit Bendera, Pulau Pinang Sebagai Tapak Rizab Biosphere (MAB), UNESCO di Bukit Bendera di sini, hari ini. - NSTP/Mikail Ong

Ali berkata, KeTSA sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada mana-mana kerajaan negeri yang ingin mencalonkan kawasan negeri masing-masing sebagai tapak berkepentingan biodiversiti antarabangsa.

"Terdapat satu lagi lokasi berpotensi diangkat sebagai tapak rizab biosfera dikenali sebagai Sarawak Delta dan beberapa kawasan lain yang boleh dipertimbangkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KeTSA sedang membangunkan Kerangka Kewangan Pengurangan Pelepasan Gas daripada Pemusnahan dan Degradasi Hutan (REDD) Plus Finance Framework (RFF) sebagai inisiatif kewangan tambahan kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan aktiviti pemeliharaan dan pengurusan hutan dengan kerjasama pihak swasta.

Katanya, pelaksanaan REDD Plus akan menjadi insentif kewangan tambahan kepada kerajaan negeri bagi memelihara, melindungi serta menguruskan hutan secara berkekalan.

"KeTSA juga sedang bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang melalui Jabatan Perhutanan dan Bahagian Perancang Ekonomi negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai projek rintis Sijil Pemeliharaan Hutan (FCC) yang menjadi komponen RFF.

"Inisiatif ini akan membabitkan pihak swasta dalam menyalurkan peruntukan dan sumbangan dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hutan, hidupan liar serta fungsi ekosistem," katanya.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Ali Biju menyampaikan ucapan pada majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Bukit Bendera, Pulau Pinang Sebagai Tapak Rizab Biosphere (MAB), UNESCO di Bukit Bendera, hari ini. - NSTP/Mikail Ong

Berita Harian X