Rabu, 1 Jun 2022 | 9:05pm
Tengku Farok (kiri) hari ini meninjau persiapan akhir sebelum bermulanya JAKM di pekarangan Stadium Gong Badak, esok. NSTP/BAHAROM BAKAR
Tengku Farok (kiri) hari ini meninjau persiapan akhir sebelum bermulanya JAKM di pekarangan Stadium Gong Badak, esok. NSTP/BAHAROM BAKAR

JAKM: Rakyat diminta rebut peluang pelbagai tawaran

KUALA NERUS: Rakyat di Kelantan, Pahang dan Terengganu, terutama golongan belia yang masih menganggur disaran merebut peluang pekerjaan ditawarkan pelbagai agensi dan swasta sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) selama tiga hari, mulai esok.

JAKM siri keempat yang akan diadakan di pekarangan Stadium Gong Badak, di sini, dijangka dihadiri lebih 10,000 pengunjung.

Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil, berkata sebanyak 68 aktiviti dan 30 pameran membabitkan pelbagai kementerian serta agensi agensi kerajaan diadakan.

Katanya, turut diadakan, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Malaysia, Jualan Keluarga Malaysia dan Jualan oleh Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

"Kita juga menyediakan 110 pelbagai hadiah menarik melalui cabutan bertuah bernilai RM50,000.

"Selain itu, kita menyediakan aktiviti sampingan termasuk program tukar minyak hitam motosikal percuma," katanya kepada media selepas meninjau persiapan terakhir di tapak JAKM di pekarangan Stadium Gong Badak, di sini, hari ini.

Tengku Farok berkata, JAKM siri keempat selepas Johor, Perlis dan Sabah akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, pada Sabtu ini.

Katanya, aktiviti sampingan lain akan diadakan adalah kayuhan Outreach bermula dari litar permotoran Gong Badak hingga ke Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, sejauh 13.8 kilometer.

"Antara peserta kayuhan Outreach adalah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

"Program kayuhan Fun Ride Jelajah Aspirasi Malaysia membabitkan lebih 800 peserta turut diadakan," katanya.

Berita Harian X