Ahad, 29 Mei 2022 | 4:23pm
Ismail menunjukkan pokok bakau yang ditanam di pesisiran pantai Kampung Sungai Limau Dalam. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Ismail menunjukkan pokok bakau yang ditanam di pesisiran pantai Kampung Sungai Limau Dalam. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Tanam bakau elak hakisan pesisiran pantai

YAN: Kedah sudah menanam lebih 1.6 juta pokok bakau serta pelbagai spesis pokok lain di kawasan seluas 300 hektar sejak 2005 bagi memulihara kelestarian alam sekitar serta mengelak berlakunya hakisan pantai.

Penolong Pengarah Silvi Kultur, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Ismail Zakaria, berkata penanaman pokok itu membabitkan 56 lokasi di seluruh negeri ini sama ada di dalam hutan simpan dan di luar hutan simpan.

"Kita sudah tanam1.6 juta pokok bakau, 16,300 pokok Rhu Pantai dan 8,200 lain-lain spesis pokok, bagi tahun ini JPNK menyasarkan penanaman 100,000 pokok bakau di negeri ini sebagai usaha mencapai sasaran 100 juta pokok bakau menjelang 2025 bagi seluruh negara.

"Kita positif dapat mencapai sasaran tahun ini memandangkan kita ada kontrak dengan pelbagai pihak untuk jayakan projek tanaman pokok bakau ini. Alhamdulillah, ramai berminat dan kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada mereka," katanya ketika ditemui pada program tanaman pokok di pesisiran pantai Kampung Sungai Limau Dalam bersama Syarikat Ryco Hydraulic Sdn Bhd di sini, hari ini.

Pada program itu sebanyak 500 pokok bakau ditanam di persisiran pantai berkenaan.

Ismail berkata, antara kawasan sesuai untuk tanaman pokok bakau di negeri ini adalah di pesisiran pantai Kuala Sala, Sungai Limau, Jerlun dan Pantai Murni.

Katanya, pada tahun ini pihaknya merancang untuk melakukan projek tanaman di beberapa kawasan seperti 5,000 pokok bakau di kawasan seluas lima hektar di Hutan Simpan Merbok dan di Persisiran Pantai Kuala Jerlun sebanyak 4,000 pokok bakau di atas tanah berkeluasan empat hektar.

"Peranan yang dimainkan oleh ekosistem hutan paya laut amat besar dalam menjaga pesisiran pantai daripada ancaman hakisan arus ombak yang kuat.

"Asalnya tanah ini daripada laut juga tetapi ia mendap dan apabila ia berlumpur dan makin tinggi maka sesuai untuk kita tanam pokok bakau," katanya.

Berita Harian X