Jumaat, 27 Mei 2022 | 6:57pm
Datuk Abdul Rashid Asari
Datuk Abdul Rashid Asari

BERSATU Selangor fokus pendidikan kanak-kanak istimewa

SHAH ALAM: BERSATU Selangor akan terus prihatin terhadap nasib kanak-kanak istimewa dengan memfokuskan Hab Pendidikan Khas golongan berkenaan.

Pengerusi, Datuk Abdul Rashid Asari, berkata ia bagi membentuk satu sistem sokongan komuniti supaya anak-anak istimewa tidak terpinggir dan didiskriminasi dalam masyarakat.

"Hab Pendidikan Khas ini sudah dijalankan secara percuma setiap minggu bermula di Ampang dengan menyediakan Ahli Terapi Profesional bagi mengenal pasti tahap penyakit yang dihidapi anak-anak istimewa.

"Ia turut memberikan rangsangan serta khidmat nasihat kepada ibu bapa agar mereka tidak rasa bersendirian dalam membesarkan anak-anak istimewa ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Pendidikan Khas akan terus merangka program susulan serta menyusun aktiviti dari semasa ke semasa bagi memperkukuhkan lagi sistem sokongan komuniti masyarakat terhadap anak-anak istimewa serta ibu bapa mereka.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berharap masyarakat akan bersama bagi menjayakan sistem sokongan komuniti itu.

"BERSATU Selangor akan terus berbakti kepada masyarakat untuk bersama menaikkan ekonomi rakyat serta memulihkan ekonomi negara seiring perubahan positif fasa pandemik kepada endemik COVID-19," katanya.

Berita Harian X