Selasa, 24 Mei 2022 | 8:05pm
Aminuddin (kiri) melihat pelan Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 selepas merasmikan majlis pecah tanah di LRA Ngoi-Ngoi, petang tadi. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Aminuddin (kiri) melihat pelan Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 selepas merasmikan majlis pecah tanah di LRA Ngoi-Ngoi, petang tadi. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Negeri Sembilan bantu petani kecil

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tiada halangan mempertimbang permohonan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) untuk pertanian dan projek pengeluaran makanan, termasuk ternakan ayam.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata hampir setiap minggu kerajaan negeri meluluskan tanah TOL yang bersesuaian kepada petani untuk penggunaan tanaman kontan.

Katanya, kelulusan itu tidak membabitkan tanah TOL bagi tanaman kekal seperti durian dan kelapa sawit.

"Itu yang kita buat pada syarikat besar. Kita baru-baru ini bekerjasama dengan kerajaan Negeri Selangor untuk cadangan memajukan tanah terbiar seluas 400 ekar (1.6 hektar) di Gemas dengan tanaman jagung bijirin.

"Sebelum itu juga, kita sudah majukan kolam terbiar masing-masing seluas 40 hektar di Gemas, Jelebu dan Jempol dengan projek ternakan ikan air tawar yang bersaiz besar. Itu semua kolam terbiar yang kita bangunkan.

"Petani kecil, kita bantu luluskan tanah TOL jika bersesuaian," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Kerajaan negeri membangunkan semula tanah pertanian terbiar di Kuala Pilah. - Foto NSTP/Azrul Edham
Kerajaan negeri membangunkan semula tanah pertanian terbiar di Kuala Pilah. - Foto NSTP/Azrul Edham

Beliau mengulas mengenai keputusan mesyuarat Kabinet semalam supaya kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan tanah TOL untuk penanaman jagung bagi jangka panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, keputusan itu berdasarkan pandangan Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata kakitangan Jabatan Pertanian perlu turun padang dan menyelami keperluan petani serta memahami masalah mereka.

"Isunya seperti masalah musuh tanaman, harga input pertanian, baja, harga pagar kebun mahal. Sekarang kita tidak boleh bunuh musuh tanaman begitu sahaja. Ini yang perlu diselesaikan.

"Bukan soal tanah semata-mata tetapi kos untuk memajukan sesuatu kawasan ladang itu tinggi. Rakyat di bawah hendak tahu bukan sekadar cerita di atas, tentang isu tanah dan sebagainya.

"Masalah kos tinggi, musuh tanaman banyak dan ia harus diatasi. Selami dan tangani isu rakyat di bawah ini. Ramai anak muda hendak babitkan diri dalam pertanian dan pengeluaran makanan, tetapi masalah-masalah ini, siapa boleh bantu selesaikan," katanya.

Malaysia wajar mengeluarkan jagung bijirin untuk makanan ternakan. - Foto hiasan
Malaysia wajar mengeluarkan jagung bijirin untuk makanan ternakan. - Foto hiasan

Berita Harian X