Selasa, 24 Mei 2022 | 8:58am
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Tokoh Guru 2022, Datuk Dr Nuinda Alias (kanan) sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Tokoh Guru 2022, Datuk Dr Nuinda Alias (kanan) sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini. - Foto BERNAMA

Sabah sedia Tabung Pendidikan Negeri bantu pelajar ke IPT

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyediakan dana khas pendidikan dikenali sebagai Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar di negeri ini melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, tabung itu yang akan dilancarkan bulan depan disediakan untuk memastikan lebih ramai anak Sabah berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Katanya, penubuhan TPNS adalah antara inisiatif kerajaan negeri menerusi agensinya, iaitu Yayasan Sabah yang terkandung dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah 2015 - 2023.

"Usaha ini juga selaras dengan salah satu teras Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin; Menteri Tugas-Tugas Khas yang juga Exco Pendidikan negeri, Datuk Mohd Arifin Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Tah Nia Jaman.

TPNS diwujudkan selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah meluluskan Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021, yang memperuntukkan dana untuk pendidikan di Sabah pada 9 Disember tahun lalu dan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2022.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri juga komited dalam meneruskan dua bentuk bantuan khas pendidikan yang diperkenalkan pada 2021 iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pendidikan Tinggi (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM17.5 juta.

Katanya, seramai 5,000 pelajar mendapat bantuan BUDI, manakala 40,000 pelajar menikmati bantuan BAKTI pada tahun lalu.

Selain itu katanya, kerajaan negeri turut menyediakan dana kepada lebih 1,500 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menerusi inisiatif yang dinamakan BAGUS selain bantuan peralatan komputer di sekolah atau BISBAH.

"Kita turut memberi tumpuan kepada sekolah vernakular dan badan agama bukan Islam di negeri ini dengan sejumlah RM47 juta diperuntukkan termasuk untuk sekolah mubaligh dan persendirian di Sabah pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X