Isnin, 23 Mei 2022 | 5:47pm
Foto fail
Foto fail

455 sekolah usang di Sarawak perlu dinaik taraf

KUCHING: Menaik taraf sekolah usang di negeri ini terus menjadi agenda utama bagi memastikan guru dan murid dapat menjalani pengajaran dan pembelajaran dengan sempurna serta selamat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dr Annuar Rapa'ee, berkata sejak 2017 hingga tahun ini, sebanyak 455 sekolah usang dikenal pasti perlu dinaik taraf di Sarawak.

"Daripada jumlah itu, Kementerian Pendidikan sudah melaksanakan projek naik taraf sebanyak 245 sekolah itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika soalan Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murum) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dr Annuar berkata, sepuluh daripada sekolah usang itu berada dalam kawasan DUN Murum di pedalaman Belaga dengan lima daripadanya termasuk dalam rancangan untuk dinaik taraf manakala lima lagi kini dalam peringkat pelaksanaan.

Menurutnya, satu daripada lima yang menjalani proses naik taraf dengan kaedah Industrialised Building System (IBS) itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Gang yang sudah siap pada 2019.

Tiga lagi iaitu SK Batu Keling, SK Ulu Kakus dan SK Metalun kini dalam pembinaan manakala SK Tegulang kini dalam proses dokumentasi tender.

"Peruntukan sebanyak RM30.5 juta diperuntukkan bagi empat sekolah yang kini sedang menjalani proses naik taraf iaitu SK Long Gang sebanyak RM3.3 juta, SK Ulu Kakus (RM13.3 juta), SK Batu Keling (RM5.9 juta) dan SK Metalun (RM8 juta)," katanya.

Berita Harian X