Ahad, 22 Mei 2022 | 6:04pm
Rais Yasin (baju hijau bersongkok) meninjau lukisan mural unik di Masjid As Solehin Kampung Paya Rumput. - Foto NAZRI ABU BAKAR
Rais Yasin (baju hijau bersongkok) meninjau lukisan mural unik di Masjid As Solehin Kampung Paya Rumput. - Foto NAZRI ABU BAKAR

Pelajar Politeknik Merlimau Melaka ceriakan masjid dengan mural

MELAKA: Pelajar Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menceriakan persekitaran Masjid As-Solihin Kampung Paya Rumput dengan enam lukisan mural corak islamik, arabesque kaligrafi dan simbolik seni bina Islam Melaka.

Aktiviti Jabatan Pengajian Am bersama Jabatan Kejuruteraan Awam menerusi program seni bina itu bagi menjayakan Program Polytechnic Social Responsibility (PSR) khusus bagi aktiviti mural di masjid terbabit.

Pengarah Program, Mohamad Faisal Ahmad berkata, PSR yang dilaksanakan berkenaan membabitkan enam mural yang mengaplikasikan inovasi "glow in the dark" dalam kesan warna mural ini iaitu kesan bersinar akan keluar ketika waktu malam.

Katanya, kesan cahaya neon pada waktu malam akan menjelaskan lagi keindahan pada corak islamik dan kaligrafi yang diaplikasikan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin.

Rais berkata, enam mural yang dihasilkan menerusi pelbagai konsep islam itu amat menarik termasuk menerusi bentuk seni bina yang unik sekali gus menceriakan kawasan masjid berkenaan.

"Antara mural yang dilukis membabitkan kubah masjid, kaabah, tulisan khat , istana Melaka dan pokok buluh yang unik dan menarik yang boleh menjadi pendorong kepada pelajar untuk terus menghasilkan kerja seni yang terbaik.

"Lebih enam masjid yang dihasilkan oleh pelajar PMM sebelum ini amat membanggakan kerana ia meningkatkan kemahiran mereka selain membuktikan hasil seni mereka berada tahap yang cemerlang untuk dipasarkan," katanya.

Ketua Jabatan Pengajian Am PMM, Mohd Faizal Mat Pesa berkata, pengorbanan pelajar amat dihargai termasuk mahasiswa tidur di masjid selama dua malam sementara mahasiswi di rumah penduduk dalam dalam merealisasikan program berkenaan.

Beliau berkata, program PSR akan akan diteruskan pada masa akan datang dalam mendekatkan PMM kepada masyarakat dan menambah keyakinan dan kemahiran pelajar.

Berita Harian X