Ahad, 22 Mei 2022 | 9:46am
Ahmad Fuzi (tengah) hadir pada majlis pecah tanah projek pusat pemerhatian astronomi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau High School Bukit Mertajam (HSBM), di sini. - Foto NSTP/Foto Ihsan HSBM
Ahmad Fuzi (tengah) hadir pada majlis pecah tanah projek pusat pemerhatian astronomi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau High School Bukit Mertajam (HSBM), di sini. - Foto NSTP/Foto Ihsan HSBM

Pusat pemerhatian astronomi bakal dibina di HSBM

BUKIT MERTAJAM: Sebuah pusat pemerhatian astronomi yang dianggarkan bernilai RM250,000 akan dibina di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau High School Bukit Mertajam (HSBM) tidak lama lagi.

Pusat pemerhatian itu akan dikenali sebagai Pusat Pemerhatian Astronomi Tun Ahmad Fuzi sempena nama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Pengerusi Eksekutif Radiance Assets Berhad, Dr Mohd Ezman Zamani, berkata ilham bagi membina pusat pemerhatian itu tercetus susulan minat mendalam Ahmad Fuzi terhadap astronomi serta aplikasi sains dan teknologi untuk pembangunan.

Susulan itu, Mohd Ezman berkata, HSBM, alumninya serta Persatuan Astronomi Pulau Pinang mencadangkan bagi membangunkan pusat berkenaan di sekolah itu dan ia disokong penuh Ahmad Fuzi.

"Kerja pembinaan pusat satu tingkat itu akan dilakukan pada bila-bila masa sebaik kontraktor dilantik dan dijangka siap pada tahun depan.

"Kita percaya dengan adanya pusat pemerhatian ini, ia dapat menarik minat lebih ramai pelajar bagi menceburi bidang astronomi," katanya di sini, semalam.

Terdahulu, Ahmad Fuzi merasmikan Majlis Pecah Tanah bagi membangunkan pusat pemerhatian astronomi itu di HSBM di sini.

Turut diadakan ialah sesi penyerahan cek tajaan Radiance Assets Berhad bernilai RM250,000 kepada alumni sekolah terbabit menerusi Presiden Alumni HSBM, Datuk S Kulasegaran.

Majlis itu juga diadakan sempena Hari Gabenor HSBM iaitu sebagai penghargaan kepada Ahmad Fuzi yang menjadi alumni pertama sekolah itu bergelar Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Ahmad Fuzi turut melahirkan rasa bangga susulan sekolah berkenaan dikatakan berada pada landasan memacu ke arah kecemerlangan dan kegemilangan.

Beliau berharap kemudahan teknologi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga HSBM.

Berita Harian X