Sabtu, 21 Mei 2022 | 10:36pm
 Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.

Jual sebahagian tanah biayai projek litar Sungai Petani - MB

ALOR SETAR: Kerajaan negeri bercadang menjual sebahagian tanah yang akan dibangunkan litar lumba di Sungai Petani, dekat sini, untuk mendapatkan dana bagi membiayai kos pembinaan litar itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, pembinaan litar yang sebelum ini berjalan, namun tertangguh sejak beberapa tahun lalu juga akan menggunakan reka bentuk asal yang menelan kos RM30 juta.

"Tanah untuk dibangunkan litar itu luas ada 100 ekar (40.4 hektar) lebih. Tanah itu milik Menteri Besar Incorporated (MBI).

"Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM30 juta untuk pembinaan litar itu dan RM10 juta dibelanjakan untuk kerja tanah bagi pembinaan litar itu.

"Sekarang baki tinggal RM20 juta dan memang tidak cukup untuk membina litar itu dan perlu cari dana lain. Selain itu bayaran kepada pihak perunding projek RM890,000 juga tidak dibuat kerajaan negeri sebelum ini," katanya ketika ditemui pada Program Santai Belia di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini mengubah pelan asal litar itu untuk menjadikannya lebih besar dengan menggunakan piawaian antarabangsa membabitkan kos RM73 juta.

Katanya, projek itu kemudian terhenti kerana kos tinggi dan KBS juga tidak dapat menyalurkan peruntukan tambahan diperlukan.

Muhammad Sanusi berkata, bagi memastikan projek itu dapat berjalan semula, kerajaan negeri akan menggunakan pelan dan reka bentuk asal membabitkan kos RM30 juta, namun perlu mencari sumber dana baharu bagi menampung kekurangan peruntukan.

"Sekarang ini kita di peringkat jual tanah. Tanah itu akan dibahagikan kepada dua bahagian dengan sebahagian akan dibangunkan kawasan komersial dan sebahagian lagi untuk litar yang akan dibiayai dengan dana sedia ada dan dana baharu," katanya.

Ditanya jangkaan tempoh masa projek itu akan siap, Muhammad Sanusi berkata ia tidak dapat ditentukan buat masa ini memandangkan pihaknya masih di peringkat mendapatkan dana yang akan membabitkan proses pindah milik tanah dan pembayaran dengan pelbagai pihak. – BERNAMA

Berita Harian X