Ahad, 15 Mei 2022 | 12:36pm
Dr Azman (tengah) disaksikan Dr Anun (kanan) menyampaikan vaksin kepada pegawai Veterinar daerah selepas merasmikan Pelancaran Halaqah Veterinar. NSTP/Ihsan Dr Azman.
Dr Azman (tengah) disaksikan Dr Anun (kanan) menyampaikan vaksin kepada pegawai Veterinar daerah selepas merasmikan Pelancaran Halaqah Veterinar. NSTP/Ihsan Dr Azman.

Terengganu bakal miliki kilang makanan ternakan

KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal mengeluarkan makanan ternakan selepas sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta bersetuju melabur sebanyak RM20 juta untuk pembinaan kilang di Bukit Kor, Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim, berkata kerajaan sudah mengenal pasti tapak dan bersetuju meluluskan sebidang tanah untuk projek pembinaan kilang bagi mengeluarkan makanan ternakan hasil kerjasama GLC dan syarikat swasta.

Katanya, apabila kilang itu siap dibina dan beroperasi, kerajaan mampu mengurangkan kebergantungan kepada bahan import sebanyak 80 peratus dengan memanfaatkan sumber tempatan untuk menghasilkan makanan ternakan.

"Punca utama kenaikan harga ternakan adalah disebabkan kebergantungan keterlaluan kepada bahan mentah, terutama jagung bijirin dan kacang soya yang diimport dari luar negara.

"Kita mampu mengurangkan kebergantungan bahan import sehingga 80 peratus apabila menggunakan sumber tempatan untuk menghasilkan makanan ternakan," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi merasmikan Pelancaran Halaqah Veterinar dan Kempen Kesedaran Penyakit Haiwan peringkat negeri anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan Jabatan Pertanian negeri (JPN)

Yang turut hadir adalah Pengarah JPV, Dr Anun Man dan Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, antara bahan mentah tempatan akan digunakan untuk menghasilkan makanan ternakan adalah rumput licin, ikan baja, ikan talapia hitam selain kacang soya serta jagung bijirin.

Katanya, bahan mentah seperti ikan baja boleh diperoleh daripada nelayan manakala ikan talapia hitam akan diternak dan diusahakan penduduk serta rumput licin boleh ditanam dalam kawasan kebun kelapa sawit.

"Kerajaan yakin mampu mengurangkan kenaikan harga ternakan seperti daging lembu dan ayam apabila kilang itu mengeluarkan makanan ternakan," katanya.

Berita Harian X