Jumaat, 6 Mei 2022 | 6:49pm
Penyakit HFMD mempunyai gejala ulser pada mulut, selain tangan. - Foto hiasan NSTP
Penyakit HFMD mempunyai gejala ulser pada mulut, selain tangan. - Foto hiasan NSTP

144 kes HFMD di Hilir Perak, Bagan Datuk

TELUK INTAN: Sebanyak 144 kes kaki, tangan dan mulut (HFMD) dilaporkan di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk, sehingga minggu 17/2022.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, berkata jumlah itu meningkat 7.5 kali ganda, berbanding pada minggu sama tahun 2021, iaitu hanya mencatatkan 17 kes.

Katanya, sebagai perbandingan, kes HFMD di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda, berbanding minggu sama tahun 2021.

"Sehingga kini, terdapat tujuh wabak HFMD diisytiharkan, enam wabak (86%) berlaku di daerah Hilir Perak, manakala satu wabak (14%) di daerah Bagan Datuk.

"Kebanyakan lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska, prasekolah, iaitu lima wabak (71%) diikuti oleh pusat jagaan kanak-kanak sebanyak dua wabak (29%).Tiada wabak dilaporkan di rumah persendirian," katanya, hari ini.

Mohd Akmal berkata, penyakit HFMD disebabkan oleh keluarga Enterovirus dengan majoriti kes wabak di Hilir Perak dan Bagan Datuk berpunca dari Pan-enterovirus.

Katanya, virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit serta kebiasaan jangkitan ringan dengan gejala demam, diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

"Kes HFMD yang dilaporkan banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia 0-6 tahun, iaitu sebanyak 143 kes (99%), diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun iaitu 1 kes (1%). Tiada kes di laporkan bagi kumpulan umur melebihi 12 tahun," katanya.

Beliau berkata, masyarakat dinasihati agar, ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk memastikan anak bebas dari gejala HFMD, sebelum mereka di hantar ke taska, pusat asuhan atau rumah pengasuh bagi mengelakkan perebakan.

Katanya, selain itu, anak yang mempunyai gejala jangkitan perlu dibawa ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat beli-belah dan stesen bas," katanya.

Kerap mencuci tangan dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit. - Foto hiasan
Kerap mencuci tangan dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit. - Foto hiasan

Berita Harian X