Ahad, 1 Mei 2022 | 4:43pm

Teruskan tradisi buka puasa sejak 50 tahun

KUALA TERENGGANU: Selepas dua tahun tidak berkumpul akhirnya 60 ahli keluarga Abdullah Mad Amin, 78, dan Ramlah Enduk, 74, berpeluang berbuka puasa bersama di Kampung Surau Panjang di sini, semalam.

Tradisi berbuka puasa beramai-ramai lebih 50 tahun lalu itu dapat diadakan berikutan 12 anak dan menantu selain 36 cucu dan dua cicit pulang ke kampung untuk beraya pada tahun ini.

Anak sulong, Noriah Abdullah, 57, berkata, semua adik beradiknya yang tinggal di Kuala Lumpur, Perak dan Pahang pulang ke kampung untuk beraya pada tahun ini.

"Dua tahun kami terpaksa beraya berjauhan serta menggunakan aplikasi Google Meet untuk melepaskan rindu kerana Covid-19.

"Aidilfitri tahun ini lebih bermakna kerana dapat berkumpul semula dan berbuka puasa bersama.

"Kami adik beradik memang diajar oleh ibu dan ayah supaya sentiasa berkumpul dan mengeratkan hubungan keluarga," katanya.

Beliau berkata, menjadi tradisi ahli keluarganya berbuka puasa di gerai di hadapan rumah beramai-ramai dan itu keunikkan keluarganya.

"Sejak daripada kecil sampai sekarang, mesti berbuka puasa di gerai itu. Seramai mana pun ahli keluarga yang berkumpul, mesti berbuka puasa di gerai di luar rumah itu seterusnya mengimbau kenangan ketika masih kecil," katanya.

Adiknya, Zalikha, 54, berkata, dia bersama adik beradiknya bergotong royong menyiapkan juadah berbuka puasa memandangkan ahli keluarganya besar.

"Memasak untuk 60 ahli keluarga pasti dalam kuantiti yang banyak seperti membuat kenduri.

"Seronok apabila semua ahli keluarga sepakat dan dapat duduk sekali.

"Ibu dan ayah juga gembira apabila melihat anak-anak, cucu dan cicit mesra dan harmoni," katanya.

Tradisi berbuka puasa di gerai rumah menjadi amalan 60 ahli keluarga Abdullah Md Amin. - Foto Ghazali Kori
Tradisi berbuka puasa di gerai rumah menjadi amalan 60 ahli keluarga Abdullah Md Amin. - Foto Ghazali Kori
Berita Harian X