Jumaat, 29 April 2022 | 2:06pm
Mohamad Haslah (dua kanan) menyerahkan cek bantuan pembinaan surau Ara Sendayan kepada Taufek Sharom (dua kiri) disaksikan Aminuddin Harun (tengah). - Foto Matrix Concepts.
Mohamad Haslah (dua kanan) menyerahkan cek bantuan pembinaan surau Ara Sendayan kepada Taufek Sharom (dua kiri) disaksikan Aminuddin Harun (tengah). - Foto Matrix Concepts.

Matrix Concepts sumbang RM200,000 bina surau

SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan, Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) memberi sumbangan RM200,000 sebagai dana permulaan bagi pembinaan sebuah surau di Ara Sendayan, dekat sini, hari ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin, berkata sumbangan itu bertujuan membantu masyarakat Islam di Ara Sendayan untuk memiliki tempat ibadat yang selesa dan kondusif.

Katanya, Ara Sendayan antara kawasan pembangunan perumahan yang sedang pesat dibangunkan syarikat itu dan pihaknya amat prihatin dengan keperluan penduduk kawasan berkenaan termasuk bagi pembinaan sebuah surau sebagai tempat ibadah umat Islam.

"Objektif utama adalah untuk membantu masyarakat Islam di Ara Sendayan yang memerlukan tempat ibadat yang selesa dan kondusif bagi menunaikan solat fardu serta menjalankan kegiatan syiar Islam setempat.

"Kami sentiasa menekankan pembangunan komuniti di perbandaran ini dengan meletakkan kepentingan dalam pertumbuhan sosial dan ekonomi penduduk demi kesejahteraan mereka," katanya pada majlis penyerahan cek pembinaan surau Ara Sendayan di d'Tempat Country Club, di sini, hari ini.

Cek berkenaan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Ara Sendayan, Taufek Sharom dan disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik; Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock dan Pengarah Urusan kumpulan, Ho Kong Soon.

Mohamad Haslah berkata, sumbangan berkenaan selari dengan visi korporat syarikat itu dalam membantu menyediakan kemudahan tempat beribadah bagi penduduk Islam dalam kawasan pembangunan yang dilaksanakan.

Beliau berkata, sumbangan itu juga sebagai manifestasi agenda syarikat itu untuk menyokong dasar kerajaan dalam memastikan asas pembinaan masyarakat yang mempunyai akhlak mulia.

"Saya yakin pembinaan surau ini nanti akan memainkan peranan sebagai pusat ibadah umat Islam di kawasan ini dan secara tidak langsung sebagai pusat komuniti bagi membentuk sahsiah masyarakat yang baik.

"Menjadi harapan kami sumbangan ini dapat memantapkan tabung pembinaan surau yang telah ditubuhkan dan seterusnya membantu dalam penyediaan tempat yang selesa untuk kepentingan penduduk Islam di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Aminuddin mengalu-alukan sokongan Matrix Concepts dalam memenuhi tanggungjawab korporat dan akan menjadi contoh kepada pihak lain dalam membantu kerajaan dan masyarakat menyediakan kemudahan selesa.

Berita Harian X