Jumaat, 29 April 2022 | 7:40am
Wan Mohd Zakri (kiri) menerima dana Bantuan Pendahuluan Nafkah daripada MAIDAM disampaikan Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail. - NSTP/ NAZDY HARUN
Wan Mohd Zakri (kiri) menerima dana Bantuan Pendahuluan Nafkah daripada MAIDAM disampaikan Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail. - NSTP/ NAZDY HARUN

1,616 bekas suami culas bayar nafkah

KUALA TERENGGANU: Seramai 1,616 bekas suami dilaporkan culas dalam membayar nafkah selepas berlakunya perceraian di negeri ini.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, angka itu sebahagian daripada 31,048 kes perceraian yang direkodkan sejak 2015 di negeri ini, dengan sepanjang tahun ini sahaja 1,469 lagi kes perceraian berlaku.

"Mereka (bekas isteri) ada kes di mahkamah syariah tuntutan yang masih berjalan, tetapi bekas suami culas membayar nafkah seperti diperintahkan mahkamah syariah dan kita akan mengambil tindakan.

"Bagi membantu mereka (bekas isteri) dalam menanggung anak-anak, pihak mahkamah syariah membuat satu permohonan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk mendapatkan sejumlah dana supaya boleh didahulukan nafkah kepada mereka ini sebelum bekas suami membayar balik seperti diperintah mahkamah syariah," katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Pendahuluan Nafkah (BPN) di sini, semalam.

Pada majlis itu, MAIDAM diwakili Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, menyerahkan dana RM200,000 kepada Mahkamah Syariah Terengganu dengan RM62,500 turut dibayar kepada 31 penerima melalui BPN.

Wan Mohd Zakri berkata, mahkamah akan melaksanakan penguatkuasaan ke atas bekas suami yang culas termasuk menggunakan bidang kuasanya untuk mengarahkan bank membekukan sejumlah amaun dalam akaun individu terbabit termasuk di Tabung Haji dan sebagainya.

"Mahkamah akan mengambil wang itu untuk dibayar kepada anak-anak sebagai nafkah mengikut jumlah ditetapkan mahkamah syariah," katanya.

Sementara itu, penerima BPN, Rahimah Wahab, 43, dari Kemaman berkata, dia bersyukur kerana mahkamah mengambil langkah tegas dengan membuat pembayaran pendahuluan yang kemudian akan dituntut kembali daripada bekas suaminya.

Katanya, dia sudah bercerai sejak tujuh tahun lalu, namun bekas suaminya tidak membuat pembayaran nafkah kepada anak-anak.

"Saya terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk meneruskan kehidupan dan membesarkan anak-anak.

"Hari ini saya mendapat keadilan sewajarnya apabila pihak mahkamah membuat pembayaran tunggakan nafkah RM9,000 yang belum dijelaskan bekas suami," katanya yang mempunyai empat anak berusia 14 hingga 22 tahun hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya.

Berita Harian X