Rabu, 27 April 2022 | 9:50pm
Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) berkenan menyaksikan penyerahan kunci rumah kepada penerima Rumah Impian Bangsa Johor, hari ini. - BERNAMA
Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) berkenan menyaksikan penyerahan kunci rumah kepada penerima Rumah Impian Bangsa Johor, hari ini. - BERNAMA

488 unit Rumah Impian Bangsa Johor siap, serah pemilikan

JOHOR BAHRU: Sebanyak 488 unit Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di Bandar Dato' Onn di sini, telah siap dan pemilikan kosong telah diserahkan kepada pembeli pada 31 Mac lalu.

Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata projek RIBJ Bandar Dato' Onn di kawasan berkeluasan 20.76 hektar itu salah satu projek di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) selain RIBJ di Bandar Baru Majidee.

Menurutnya, setakat ini Johor Land Berhad (Jland) telah menyiapkan 808 unit rumah mampu milik bagi projek RIBJ di Bandar Dato' Onn dan Bandar Baru Majidee dengan keluasan pembangunan 23.6 hektar di bawah skim RIBJ.

"Projek RIBJ di Dato' Onn merangkumi empat jenis rumah bertanah keluasan dari 1,181 kaki persegi hingga 1,262 kaki persegi dengan harga RM85,000 hingga RM100,000 seunit.

"Projek RIBJ di Bandar Baru Majidee yang terletak di atas tapak seluas 2.72 hektar pula siap sepenuhnya penghujung 2021, adalah perumahan 320 unit pangsapuri tiga bilik, terdiri daripada dua blok 12 tingkat dan setiap blok menempatkan 160 unit pangsapuri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Kunci RIBJ di Bandar Dato' Onn di sini yang disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Beliau berkata, projek RIBJ yang dilancarkan pada 22 Mac 2017 itu turut dilengkapi kemudahan seperti hob memasak, penghawa dingin, televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan periuk nasi.

Katanya, pembinaan RIBJ selaras dengan hasrat dan aspirasi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam memastikan setiap rakyat Johor memiliki rumah sendiri di kawasan yang sempurna serta selesa pada harga mampu milik.

Sementara itu, pekerja swasta, A Arvind, 28, berkata dia gembira setelah penantiannya selama empat tahun untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

"Gembira sangat, tidak sabar nak tunggu semua proses siap, nak bawa isteri dan anak saya tinggal di rumah pertama kami. Proses permohonan juga mudah, sekejap sahaja, jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada Sultan Ibrahim kerana merealisasikan impian kami," katanya.

Ibu tiga anak, Siti Maryam Ibrahim, 40, pula berkata dia telah membuat persiapan untuk berpindah sejak tiga tahun lalu.

"Saya sangat bersyukur sebab belum ada rumah dan rasanya dalam Jun ini boleh pindah. Persiapan saya sudah buat apabila dapat tahu permohonan lulus pada 2019, kami sudah bersedia.

"Syukur kelengkapan utama rumah semua dah disediakan dan tiada tempat lain yang sediakan kemudahan macam ini, jadi sangat membantu untuk orang berpendapatan macam kami," kata bekas kerani itu. - BERNAMA

Berita Harian X