Jumaat, 15 April 2022 | 8:28pm
Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KeTSA, kerajaan Perak bangunkan projek rintis perlombongan unsur nadir bumi

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama kerajaan negeri Perak, menjalin kerjasama membangunkan projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di mukim Kenering di Hulu Perak.

Cadangan perlombongan di tapak projek rintis ini adalah inisiatif kerajaan dalam memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan secara cekap dan teratur melalui prosedur operasi standard (SOP) dibangunkan sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata dokumen SOP NR-REE dibangunkan secara komprehensif membabitkan penelitian peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Ia turut dinilai sebuah Jawatankuasa Eksekutif dianggotai oleh pakar dalam bidang perlombongan, hidrologi, hidrogeologi dan pembangunan lestari sebelum dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri pada 2 Disember 2021.

"KeTSA juga menganjurkan sesi pendengaran awam mengenai SOP Aktiviti Perlombongan NR-REE di Perak, yang diadakan 19 Disember tahun lalu, bagi mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan berhubung SOP dibangunkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, selain pembangunan di peringkat huluan, KeTSA juga sedang meneliti potensi untuk membangunkan peringkat pertengahan dan hiliran bagi tujuan industri NR-REE.

"Ini bagi memastikan potensi ekonomi dapat direalisasikan sepenuhnya dan tidak hanya bergantung kepada pengeksportan mineral mentah.

"Pewujudan SOP ini diharapkan supaya aktiviti perlombongan NR-REE yang bakal dijalankan di Malaysia khususnya di Perak akan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan agar kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, atas kesudian membawa projek perintis ini bagi pertimbangan dan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Berita Harian X