Khamis, 14 April 2022 | 6:42pm
Amin Baitulmal MAIS Daerah Segamat, Khairul Anwar Isnin menunjukkan resit pembayaran zakat fitrah. - Foto NSTP Ahmad Ismail
Amin Baitulmal MAIS Daerah Segamat, Khairul Anwar Isnin menunjukkan resit pembayaran zakat fitrah. - Foto NSTP Ahmad Ismail

Usah tunggu saat akhir bayar zakat fitrah

SEGAMAT: Majlis Agama Islam Segamat (MAIS) menasihati umat Islam di daerah ini supaya tidak menunggu saat akhir untuk membayar zakat fitrah.

Amin Baitulmal MAIS Daerah Segamat, Khairul Anwar Isnin, 34, berkata, ini kerana pihaknya sudah melantik 98 amil untuk memudahkan urusan pembayaran.

Katanya, amil yang dilantik itu berada di masjid, surau, lokasi Bazar Ramadan selain di pejabat Pusat Kutipan Zakat (PKZ) MUIS sejak 1 Ramadan lalu.

"Zakat fitrah adalah wajib bagi mereka yang mampu dan sebaiknya ia dilaksanakan lebih awal untuk disumbangkan kepada fakir miskin sebelum Aidilfitri.

"Kadar zakat fitrah tahun ini kekal RM7 dan RM10 iaitu berdasarkan makanan harian gred beras di Johor.

"Kadar ini kekal untuk tempoh empat tahun berturut-turut sejak 2019," katanya di Pejabat MUIS di Jalan Buloh Kasap, di sini, hari ini.

Khairul Anwar berkata, pihaknya turut turun padang menyertai pelbagai program antaranya agihan sumbangan untuk mangsa ribut di daerah ini selain mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

"Sebagai persediaan menyambut Aidilfitri, sebanyak RM863,900 akan diagihkan dalam masa terdekat kepada golongan yang memerlukan iaitu ketua keluarga fakir, ketua keluarga miskin serta tanggungan mereka," katanya.

Berita Harian X