Rabu, 13 April 2022 | 10:01am
(Gambar fail) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
(Gambar fail) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail

Raja Perlis rai warga emas, anak yatim dan pengamal media

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, berkenan merai dan mengurniakan sumbangan kepada warga emas, anak yatim serta pengamal media pada majlis iftar di Istana Arau, di sini, malam tadi.

Seramai 20 warga emas dari empat rumah kebajikan, iaitu Rumah Seri Kenangan Kangar, Pusat Aktiviti Warga Emas Jejawi, Pusat Aktiviti Warga Emas Yayasan Islam Perlis (Yips) dan Pusat Aktiviti Warga Emas Durani, diraikan serta menerima sumbangan pada majlis berkenaan.

Seramai 19 anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Arau serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis turut diraikan pada majlis itu.

Berangkat sama pada majlis berkenaan ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil; serta anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Yang turut hadir, barisan EXCO Perlis dan ketua jabatan agensi kerajaan di negeri ini.

Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM39.095 juta daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 35 institusi pendidikan Islam di seluruh negeri ini yang tersenarai bawah Peruntukan Tahunan Institusi Pendidikan Islam Negeri Perlis 2022.

Antara institusi pendidikan Islam terbabit ialah Sekolah Agama Al Islahiyah Menengah (SAIM) Behor Mali, Maahad At Tarbiyah Al Islamiyah (MATRI) dan Sekolah Menengah Al Maad Arau.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menunaikan solat tarawih berjemaah bersama tetamu jemputan.

Di samping itu, turut diadakan upacara memotong kek dan bacaan doa sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan cucunda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra, yang ke-13.

Pada akhir majlis, Tuanku Syed Sirajuddin juga berkenan menerima sembah menghadap semua tetamu jemputan yang hadir. – BERNAMA

Berita Harian X