Selasa, 12 April 2022 | 10:32pm
Keadaan kediaman Normah Ibrahim. - Foto ihsan FB APM
Keadaan kediaman Normah Ibrahim. - Foto ihsan FB APM

'Angkara lilin, Ramadan kami suram'

JOHOR BAHRU: "Sejak lebih enam bulan lalu kami hidup bertemankan lilin selepas bekalan elektrik dipotong, namun tidak sangka ia mengakibatkan kediaman kami musnah dalam kebakaran malam tadi," kata Normah Ibrahim, 45, mangsa kebakaran di Jalan Kupang 4, Batu 4, Kampung Skudai Kiri.

Normah yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang berkata, dalam kejadian jam 9.30 malam kebakaran yang bermula di bilik tengah dipercayai berpunca daripada api lilin.

"Anggota bomba yang tiba berjaya memadam kebakaran dalam tempoh setengah jam.

"Dalam kejadian berkenaan, saya hanya sempat menyelamatkan dokumen ahli keluarga.

"Kejadian mengakibatkan kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan lebih memilukan ia berlaku pada Ramadan.

"Pelbagai persiapan menjelang Ramadan musnah dan buat sementara, kami juga menumpang di rumah adik di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana," katanya.

Normah berkata, dalam kejadian berkenaan, dua rumah milik adik-beradiknya terletak bersebelahan rumahnya turut mengalami kerosakan bahagian dapur.

Menurutnya, dia reda dengan ujian Allah dan yakin ada hikmahnya.

"Suami saya hanya membantu rakannya berniaga dan kami memiliki seorang cahaya mata berusia 13 tahun yang kini belajar di Melaka.

"Beban kewangan mengakibatkan kami tidak dapat melangsaikan tunggakan bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira RM5,000.

"Kini kami keliru memikirkan anggaran kos bagi membaik pulih rumah kira-kira RM30,000," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada 9.35 malam.

Beliau berkata, dua unit fire rescue tender (FRT) dengan kekuatan 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran mengakibatkan rumah berkenaan musnah kira-kira 90 peratus," katanya.

Berita Harian X