Jumaat, 1 April 2022 | 8:04am
Umat Islam dinasihatkan melakukan pembayaran hanya kepada amil bertauliah yang dilantik. -Foto Mohd Rafi Mamat
Umat Islam dinasihatkan melakukan pembayaran hanya kepada amil bertauliah yang dilantik. -Foto Mohd Rafi Mamat

930 amil bertugas di Pahang

KUANTAN: Seramai 930 amil bertauliah yang dilantik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan bertugas menerima zakat fitrah di negeri ini, secara bersemuka pada Ramadan kali ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata daerah Kuantan mempunyai seramai 172 amil diikuti Temerloh (122), Pekan (94), Lipis (80) dan Jerantut (65).

Katanya, di Raub terdapat seramai 69 amil, Bera (67), Bentong (55), Muadzam Shah (36), Chenor (30), Rompin (29) dan Cameron Highlands (10).

"MUIP akan menambah jumlah amil bertauliah sekiranya keadaan memerlukan bagi memberi lebih keselesaan kepada pembayar zakat fitrah.

"Kita telah mengadakan sesi taklimat kepada amil yang dilantik secara berperingkat sebelum ini, penekanan lebih kepada aspek mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Setiap amil yang bertugas perlu sentiasa mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) terutama membabitkan jarak dan sentiasa menggunakan pelitup hidung dan mulut," katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, mereka juga tidak dibenarkan bersalam bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku manakala amil yang bergejala tidak dibenarkan bertugas,

Asmadi berkata, MUIP berharap pembayar zakat turut sama mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Kadar zakat fitrah di Pahang tahun ini RM7 dan Ramadan kali ini disambut dalam keadaan lebih ceria apabila aktiviti di masjid dan surau boleh dilakukan," katanya.

Berita Harian X