Khamis, 31 March 2022 | 3:25pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pahang benar rapatkan saf solat jemaah

KUANTAN: Semua masjid dan surau di Pahang dibenarkan melaksanakan solat berjemaah dengan merapatkan saf tanpa perlu melakukan penjarakan fizikal antara jemaah mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kebenaran itu membabitkan solat lima waktu, Jumaat dan tarawih.

Katanya, keputusan itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Ini juga sesuai dengan saranan Perdana Menteri, DatukSri Ismail Sabri yang mengumumkan kerajaan Pusat membenarkan merapatkan saf berkuatkuasa 1 April ini," katanya menerusi hantaran Facebook.

Semalam, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Task Force COVID-19 Pahang memutuskan memberi kebenaran solat tarawih 20 rakaat di masjid dan surau di seluruh negeri.

Sementara itu, menerusi Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), jumlah jemaah adalah mengikut keluasan kapasiti masjid dan surau yang tertakluk kepada kemampuan dan kawalan dalam kalangan jemaah.

"Kaedah kehadiran jemaah adalah terbuka kepada semua sama ada yang sudah divaksin atau belum divaksin.

"Merapatkan saf ketika menunaikan solat berjemaah mengikut saiz sejadah yang dibawa sendiri oleh jemaah dan tidak berlaku sentuhan fizikal.

"Semua aktiviti pengajian ilmu dan keagamaan seperti kuliah Maghrib, Subuh, Zuhur, dhuha, kelas pengajian al-Quran dewasa dan kanak-kanak, seminar, kursus haji dan umrah sambutan hari kebesaran Islam dibenarkan," katanya.

Berita Harian X