Khamis, 31 March 2022 | 7:48am
Pengerusi Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. - Foto fail NSTP
Pengerusi Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. - Foto fail NSTP

Syor wujudkan santuari, pusat penetasan ikan asli Sarawak

SIBU: Pengerusi Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyarankan agensi itu agar mewujudkan kemudahan santuari dan pusat penetasan bagi ikan asli Sarawak seperti empurau, semah dan tengadak.

Beliau berkata, usaha itu akan dapat membantu menambah spesies ikan asli di sungai di negeri berkenaan terutamanya di Belaga, Katibas, Ngemah, Kanowit, Machan, Kapit dan Baleh.

Menyedari beberapa sungai sudah terjejas disebabkan aktiviti pembalakan dan pembinaan projek pembangunan, terdapat beberapa kawasan di hulu sungai yang masih bersih dan sesuai untuk penyediaan kemudahan penetasan.

"Ia boleh dilakukan kerana ada keperluan untuk menambah (spesies ikan asli) di sungai kita dan kita tahu betapa berharganya ikan empurau, semah, tengadak dan ikan yang lain.

"Walaupun kita mempunyai Pusat Penyelidikan Pertanian Semenggok yang mengeluarkan ikan untuk menambah bekalan ikan di sungai, saya tidak fikir ia cukup," katanya kepada media selepas melakukan majlis penutupan Makmal Sosioekonomi URDA di sini, semalam.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, program itu juga perlu dijalankan di kawasan lain dan tidak terhad di kawasan URDA sahaja.

URDA, agensi di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Sarawak yang ditubuhkan pada 12 Julai 2017 untuk merancakkan lagi pembangunan di kawasan Kapit, Kanowit, Song, Belaga dan Bukit Magong, meliputi kawasan seluas 41,186 kilometer persegi.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 bilion untuk projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pada Oktober tahun lalu bahawa URDA akan menerima peruntukan RM1.5 bilion lagi di bawah RMKe-12.

Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, 10 peratus daripada peruntukan itu akan disediakan untuk pembangunan sosio ekonomi penduduk di kawasan URDA.

"Ini adalah penting kerana selain daripada menyediakan projek kemudahan asas, rakyat di kawasan itu perlu dibantu dalam meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

Mengenai program Makmal Sosio ekonomi URDA selama dua hari, beliau berkata, ia sudah menggariskan perkara yang perlu diberi perhatian terutamanya aktiviti cepat dan mudah, jangka pendek dan sederhana supaya rakyat tidak perlu menunggu terlalu lama untuk meningkatkan pendapatan.

Beliau berharap semua pihak yang berkepentingan akan memainkan peranan supaya rancangan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya. – BERNAMA

Berita Harian X