Rabu, 30 March 2022 | 1:29pm
Peserta Kursus Kompetensi Pengurusan Restoran bergambar bersama barisan pengurusan KYPJ dan MacDonald's Malaysia di KYPJ Kota Tinggi. - Foto KYPJ
Peserta Kursus Kompetensi Pengurusan Restoran bergambar bersama barisan pengurusan KYPJ dan MacDonald's Malaysia di KYPJ Kota Tinggi. - Foto KYPJ

Sinar baharu 25 graduan hilang kerja akibat COVID-19

KOTA TINGGI: Seramai 25 graduan bakal diserapkan ke jawatan pengurusan di rangkaian restoran makanan segera McDonald's Malaysia apabila menamatkan program perantis pengurusan restoran selama lapan hari hingga 15 bulan di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ).

Timbalan Ketua Eksekutif KYPJ, Mohd Asmadi Alias berkata, peserta daripada kalangan graduan yang kehilangan pekerjaan ketika kemuncak pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 itu berjaya menamatkan Kursus Kompetensi Pengurusan Restoran selama 18 hari anjuran KYPJ dengan kerjasama McDonald's Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, program di bawah tajaan PENJANA Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Career Advancement Program (CAP) itu bertujuan memberi peluang kepada graduan tanpa mengira bidang.

"Ia bertujuan mengembangkan potensi diri serta membina kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Kursus berkenaan memberi sinar baharu kepada mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

"Mereka juga bersyukur kerana program terbabit memberi laluan kerjaya bagi menyertai pengurusan sebuah restoran makanan segera yang terkenal di seluruh dunia," katanya menerusi siaran media hari ini.

Majlis penutup Kursus Kompetensi Pengurusan Restoran KYPJ dengan Kerjasama McDonald's Malaysia di KYPJ Kota Tinggi di sini disempurnakan Mohd Asmadi manakala McDonald's diwakili Pengurus Sumber Manusianya, Rosli Salim.

Seorang peserta, Muhammad Hassan Hamdi, 24, dari Kempas, Johor Bahru yang diberhentikan kerja dari sebuah hotel terkemuka akibat pandemik COVID-19 bersyukur kerana terpilih menyertai program berkenaan sekali gus membolehkan beliau menyertai pasukan pengurusan McDonald's.

"Selepas diberhentikan kerja dalam sektor perhotelan, saya terpaksa membuat pelbagai pekerjaan dengan pendapatan yang tidak tetap, dengan adanya kursus ini saya melihat masa depan yang cerah," katanya.

Seorang lagi graduan yang terjejas dengan pandemik COVID-19, Muhamad Zharif Asyraf Anuar, 25, dari Kota Tinggi pula diberhentikan kerja dari sebuah syarikat katering dan menyertai beberapa pekerjaan selepas itu untuk kelangsungan hidup.

Beliau menerima tawaran menyertai Program Perantis Pengurusan MacDonald's yang membuka harapan untuk mengecapi kerjaya yang lebih terjamin dan mempunyai masa depan.

"Terima kasih kepada KYPJ dan McDonald's yang memberi peluang kepada graduan yang kehilangan pekerjaan seperti kami pekerjaan yang menjamin masa depan," katanya.

Sementara itu, seorang graduan wanita dari Kodiang, Kedah, Ku Nur Ainin Sofiya,24, menyifatkan dirinya bertuah kerana mendapat tawaran mengikuti dua program yang bakal menjamin masa depannya.

Graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, peluang untuk bekerja sebagai penolong pengurus dan pengurus di sebuah restoran makanan segera terkenal seperti McDonald's merupakan tawaran yang sukar ditolak kerana menjanjikan masa depan yang terjamin.

Peserta yang mengikuti Program Perantis Pengurusan McDonald's, dibayar elaun sebanyak RM60 sehari dengan tempoh bekerja minima selama lapan jam sehari.

Berita Harian X