Rabu, 30 March 2022 | 10:47am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Tangani masalah banjir di Rantau Panjang'

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Kelantan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir di daerah Rantau Panjang yang berpunca daripada projek tebatan banjir dibina gagal berfungsi dengan berkesan.

Keadaan itu menyebabkan banjir besar berlaku di lima kampung baru-baru ini, yang menyebabkan penduduk kerugian akibat kerosakan harta benda.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader, berkata sejak projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dibina, sudah dua kali banjir besar melanda lima kampung iaitu Kampung Tersang, Kampung Gual To' Deh, Kampung Gual Periok, Kampung Padang Licin dan Kampung Kusar.

"Masalah ini didakwa berlaku berpunca daripada projek tebatan banjir yang dibina sejauh 30 kilometer dari Tok Uban ke Lancang itu tidak mempunyai pintu air kecemasan.

"Akibatnya apabila hujan lebat, air tidak dapat mengalir ke Sungai Golok dan melimpah masuk ke kampung berkenaan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah berlaku banjir turut dilanda bencana itu.

Katanya, 150 penduduk di sekitar Rantau Panjang juga sudah mengadakan protes membantah kejadian yang berlaku.

"CAP bersimpati dengan penduduk dan jika masalah berlarutan, kehidupan penduduk di kawasan itu akan terancam lebih teruk lagi pada masa depan.

"Jadi, CAP harap pihak kerajaan berbincang dengan penduduk tempatan terlebih dulu bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap sesuatu projek yang dirancang.

"CAP juga mencadangkan Kerajaan Kelantan membayar pampasan kepada penduduk yang mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda kerana masalah ini," katanya.

Berita Harian X