Selasa, 29 March 2022 | 12:32pm
KTimbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dr Hasnan Ramli. -Foto NSTP/Hidayatidayu Razali
KTimbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dr Hasnan Ramli. -Foto NSTP/Hidayatidayu Razali

Sihir, zina antara 70 kes dilaporkan kepada JAHEAIK

KOTA BHARU: Perbuatan sihir, hamil luar nikah, zina dan pondan antara kes jenayah syariah yang dilaporkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dr Hasnan Ramli, berkata bagi perbuatan sihir pihaknya menerima laporan dua kes, hamil luar nikah membabitkan lima kes manakala melakukan zina dan pondan masing-masing satu kes.

Katanya, bagi tahun ini, pihaknya menerima sebanyak 70 laporan mengikut Undang-Undang Islam, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

"Antara kesalahan lain termasuk perbuatan tidak sopan sebanyak 22 kes, pondan (satu kes), khalwat (33 kes), mendedahkan aurat (satu kes) dan mengganggu rumah tangga orang lain (lima kes).

"Kesalahan yang dilaporkan ini ada yang masih dalam peringkat siasatan pihak kita dan juga pendakwaan. Sebaik menerima laporan, kita akan membuat siasatan lanjut sebelum mengambil tindakan seterusnya.

"Misalnya, selepas menerima aduan berkenaan mangsa sihir, kita akan membuat siasatan sebelum membuat keputusan. Aduan sihir yang kita terima ini membabitkan ahli keluarga," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, JAHEAIK juga menerima aduan membabitkan ada pihak ketiga yang mengganggu rumah tangga orang lain iaitu sebanyak lima kes.

Katanya, bagi kes sihir, pihaknya boleh membuat siasatan selepas pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

"Jika sebelum ini kita tidak membuat siasatan terhadap aduan sihir, namun selepas pelaksanaan enakmen itu, pihak kita akan membuat siasatan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Kelantan mula melaksanakan Undang-Undang Islam dengan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 November tahun lalu.

Berita Harian X