Khamis, 24 March 2022 | 3:20pm
Azwan bersama Perodua Viva dan bot angin yang digunakan bagi misi membantu menyelamatkan mangsa banjir. - Fail NSTP
Azwan bersama Perodua Viva dan bot angin yang digunakan bagi misi membantu menyelamatkan mangsa banjir. - Fail NSTP

APM tunggu masa latih 'Abang Viva'

MELAKA: Azwan Omar atau 'Abang Viva' yang tular berikutan kegigihannya memandu Perodua Viva dan membawa bot angin dari Melaka bagi membantu mangsa banjir di Shah Alam akhir tahun lalu, dipelawa mengikuti latihan asas penyelamatan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata pihaknya bersedia melatih Azwan, 30, dengan ilmu penyelamatan lebih sistematik.

Katanya, Kursus Asas Pertahanan Awam diadakan secara berjadual setiap tahun bagi pengambilan anggota sukarelawan baharu.

"Secara dasarnya beliau (Azwan) setuju menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan APM. Mudah-mudahan dia dapat meluangkan masa bila kita adakan kursus asas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-70 peringkat negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Cuthbert berkata, pihaknya akan berhubung dengan Azwan menerusi Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah bagi menetapkan masa sesuai.

Beliau berkata, ilmu penyelamatan penting bagi membolehkan Azwan lebih bersedia dan berkeyakinan menjalankan tugas sukarelawan.

Azwan dipilih menjadi anggota sukarelawan APM Melaka pada Januari lalu selepas kisahnya tular di media sosial apabila membantu mangsa banjir menggunakan kereta Perodua Viva dan sebuah bot angin.

Menariknya, beliau ke Selangor untuk membantu misi menyelamat mangsa banjir pada Disember tahun lalu dengan hanya berbekalkan RM50 bagi mengisi minyak dan membeli makanan.

Berita Harian X