Selasa, 22 March 2022 | 7:28am
Kadar vaksinasi suntikan pertama COVID-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Sabah hanya mencapai 21.79 peratus atau membabitkan 89,662 orang. - FOTO BERNAMA
Kadar vaksinasi suntikan pertama COVID-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Sabah hanya mencapai 21.79 peratus atau membabitkan 89,662 orang. - FOTO BERNAMA

Sikap 'tunggu dan lihat' punca vaksinasi kanak-kanak rendah di Sabah

KOTA KINABALU: Sikap tunggu dan lihat, selain terpengaruh penularan berita palsu mengenai risiko vaksinasi antara punca kadar pelalian COVID-19 kanak-kanak di Sabah masih rendah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata setakat kelmarin, kadar vaksinasi suntikan pertama COVID-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Sabah hanya mencapai 21.79 peratus atau membabitkan 89,662 orang.

"Kementerian saya melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedar bahawa vaksinasi untuk kanak-kanak bermula dengan agak perlahan disebabkan beberapa kekangan.

"Antaranya tindakan ibu bapa yang mengambil sikap tunggu dan lihat dan juga penularan khabar palsu mengenai risiko vaksinasi untuk kanak-kanak," katanya semalam.

Shahelmey berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka untuk menerima vaksin demi memastikan keselamatan kanak-kanak terbabit.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyediakan 183 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk membantu mempercepat program vaksinasi khususnya kepada remaja dan kanak-kanak.

"Pada masa sama, kita bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pengurusan sekolah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperluas program vaksinasi," katanya.

Sementara itu, Shahelmey berkata, inisiatif lain juga diambil untuk meningkatkan pemberian vaksin kanak-kanak serta dos penggalak golongan dewasa.

Katanya, ini termasuk melalui pemantauan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi penerimaan dos penggalak dalam kalangan kakitangan awam negeri.

"Kita menggalakkan kakitangan awam negeri mendapatkan dos penggalak dan membawa sekali anak-anak mereka berusia lima hingga 11 tahun menerima vaksin.

"Kita juga mengadakan program pemimpin bersama rakyat sambil melaksanakan pemberian vaksin selain memberi kemudahan kepada penerima vaksin seperti pengangkutan ke PPV dan menyediakan peruntukan kewangan untuk pengoperasian PPV awam di daerah," katanya.

Berita Harian X