Sabtu, 19 March 2022 | 9:43am
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) membelanjakan sebanyak RM450,000 bagi menaik taraf Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands. - Foto ihsan JPNP
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) membelanjakan sebanyak RM450,000 bagi menaik taraf Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands. - Foto ihsan JPNP

RM450,000 naik taraf Taman Eko Rimba Mossy Forest

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) membelanjakan sebanyak RM450,000 bagi menaik taraf Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong berkata, peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH) digunakan bagi tujuan berkenaan sebagai usaha memberi lebih keselesaan kepada pelancong.

Katanya, tiga projek menarik taraf pusat pelancongan terkenal itu membabitkan kawasan meletak kenderaan, bangunan kaunter tiket dan penerangan serta pelantar pemandangan.

Beliau berkata, turut sama dinaik taraf ialah replika tulisan 'Taman Eko Rimba Mossy Forest' yang lebih menarik seterusnya akan menjadi tempat pelancong mengabadi gambar kenangan.

"Projek menarik taraf TER Mossy Forest kini hampir siap sepenuhnya mengikut jadual, pelancong yang berkunjung ke TER Mossy Forest telah boleh menggunakan kemudahan yang ada.

"Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands ditugaskan untuk mengawal kawasan berkenaan termasuk menjual tiket dan memberi penerangan," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, TER Mossy Forest kini menjadi antara produk pelancongan yang terkenal di Cameron Highlands dan ia sudah dibuka sepenuhnya selepas ditutup, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Regina berkata, pihaknya yakin kehadiran pelancong ke TER Mossy Forest akan terus bertambah apabila sektor pelancongan negara kini sudah dibuka sepenuhnya oleh kerajaan.

"Kini setiap hari antara 50 hingga 100 pelancong datang ke TER Mossy Forest dan jumlah pengunjung bertambah dua hingga tiga kali ganda pada hujung minggu.

"Saya yakin jumlah pengunjung akan terus bertambah secara berperingkat terutama apabila kerajaan membuka sepenuhnya sektor dan apabila pelancong asing mula datang ke negara ini.

"TER Mossy Forest terkenal dengan hutan lumut dan pemandangan menarik serta persekitaran yang sejuk. Ia sememangnya

terkenal dalam kalangan pelancong sejak tempatan dan luar negara," katanya.

Berita Harian X