Khamis, 17 March 2022 | 3:13pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

3 projek Rumah Idaman MBI sedang dimajukan

SHAH ALAM: Tiga projek Rumah Idaman MBI di Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat membabitkan pembinaan 4,819 unit sedang dibangunkan, manakala 39,485 unit lagi menerusi 18 projek sedang dalam peringkat perancangan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail, berkata beberapa projek Rumah Idaman MBI masih dalam peringkat perancangan berikutan proses memperoleh kelulusan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil masa panjang daripada yang dijadualkan.

"Kerajaan negeri mengenal pasti punca kelewatan iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI) selaku penyelaras projek masih dalam proses memuktamadkan Perjanjian Usahasama (JV) bersama pihak pemaju.

"Selain itu, terdapat kontraktor menarik diri daripada tawaran awal menyebabkan pihak usaha sama perlu membuat lantikan semula kontraktor; berlaku kes yang mana pemaju dikehendaki meminda kelulusan pembangunan daripada pihak PBT untuk disesuaikan dengan keadaan sedia ada di lapangan.

"Pandemik COVID-19 yang melanda negara dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) juga menyebabkan kelewatan dalam proses penyediaan pelan pembangunan oleh pihak pemaju," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Rodziah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Zakaria Hanafi (BN-Semenyih) mengenai Rumah Idaman MBI termasuk masalah yang melambatkan projek pembinaan bermula.

Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI) pasca COVID-19 mula diperkenalkan pada 2020.

Berita Harian X