Rabu, 16 March 2022 | 9:13pm

162 unit RPMM dijangka siap dua tahun lagi

KUALA NERUS: Sebanyak 162 unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) akan dibina di Kampung Banggol Pauh di sini bagi membolehkan rakyat di Terengganu memiliki kediaman masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek yang bermula pada 13 Disember tahun lalu itu, dijangka mengambil masa dua tahun.

"Projek ini antara usaha kerajaan negeri dalam mencapai sasaran dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) lalu yang mahu membina 20,000 rumah untuk rakyat di Terengganu menjelang 2023.

"Ketika ini, kita sudah bina lebih 18,000 rumah dan kita yakin boleh capai sasaran itu," katanya ditemui Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Banggol Pauh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM41 juta termasuk subsidi RM65,000 untuk setiap unit rumah yang dibina bagi projek berkenaan.

Katanya, harga yang ditawarkan kepada rakyat adalah RM80,000 selepas kerajaan memberikan subsidi berbanding kos sebenar iaitu RM145,000.

"Projek ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti surau, tadika, gerai, pondok pengawal dan rumah sampah," katanya.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak (kanan) melihat model replika rumah semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Pangsa Mampu Milik di Kampung Banggol Pauh. - Foto GHAZALI KORI

Berita Harian X