Rabu, 16 March 2022 | 4:58pm

Ibu bapa tidak bayar zakat fitrah pada amil sah, bantuan pelajaran ditolak

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) tidak akan pertimbangkan permohonan bantuan sekali bayaran pelajar jika ibu bapa tidak menunaikan zakat fitrah kepada amil yang dilantik pihaknya.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, bayaran bantuan pendidikan sekali bayaran juga tidak akan dipertimbangkan jika ibu bapa pelajar membayar zakat fitrah ke negeri atau negara lain atau amil yang tidak diiktiraf.

Katanya, MAIDAM mempunyai kaedah untuk memastikan sama ada ibu bapa pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) membayar zakat fitrah kepada amil yang diiktiraf.

"Tahun ini kita melantik 966 orang amil untuk memudahkan umat Islam di seluruh negeri membayar zakat fitrah.

"Kita tegaskan, permohonan bantuan tidak akan dipertimbangkan jika ibu dan bapa pemohon tidak menunaikan zakat kepada MAIDAM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shaikh Harun juga turut mengesahkan syarat itu sudah ditetapkan pada borang permohonan bantuan pendidikan.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, MAIDAM membelanjakan sebanyak RM20.8 juta bagi bantuan sekali bayaran kepada 19,825 pelajar yang ditawarkan melanjutkan ke UA tahun lalu.

Katanya, pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah akan menerima bantuan sekali bayaran sebanyak RM1,000, diploma (RM800) dan RM500 yang ditawarkan ke asrama penuh.

"Tahun lalu, MAIDAM juga turut menyalurkan bantuan awal pengajian kepada 10,916 pelajar membabitkan perbelanjaan sebanyak RM9.6 juta," katanya.

Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X